Tinggal lagi sembilan perlawanan!

Oleh Burn Thevandran 5 March 2018 3644
Tinggal lagi sembilan perlawanan!
Saingan Liga Perdana Inggeris sudah memasuki perlawanan ke-29 dan hanya tinggal sembilan lagi aksi bagi melengkapkan 38 perlawanan liga secara keseluruhan sebelum musim 2017-2018 ini melabuhkan tirai.

Seperti dijangka, skuad yang berbelanja paling besar sewaktu jendela perpindahan, Manchester City, gah menerajui carta liga, jauh meninggalkan pasukan-pasukan lain.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu hanya memerlukan empat lagi kemenangan bagi mengesahkan kejuaraan.

Bagi Manchester United dan Liverpool pula, dua seteru utama ini dilihat rancak merebut kedudukan kedua dengan perbezaan mata yang amat sedikit di antara kedua-dua kelab.

Dan situasi Jose Mourinho dan Jorgen Klopp pastinya dicemburui Mauricio Pochettino yang mengekori rapat di tangga keempat.

Bagi Chelsea dan Arsenal pula, kedua-dua pasukan ini dilihat mula goyah apabila liga semakin sampai ke penghujungnya.

Dengan kedudukan Antonio Conte dan Arsene Wenger berada dalam bahaya, ditambah kekalahan demi kekalahan yang dialami, mereka amat memerlukan magis bagi mengembalikan rentak permainan yang sebenar.

Bagi pasukan di pertengahan liga seperti Everton, Leicester City dan Watford, kedudukan boleh berubah bila-bila masa kerana jurang mata adalah sangat dekat sesama mereka.

Cuma kedudukan pasukan di zon relegasi sedikit membimbangkan. West Bromwich, Stoke City dan Crystal Palace perlu segera bangkit andai tidak mahu terjerumus ke liga bawahan.

Skrip sama bagi pasukan Southampton dan Newcastle United yang hanya dibezakan satu dan dua mata dengan pasukan di zon relegasi.

Dengan saingan liga akan tamat dalam masa terdekat, penulis teruja untuk melihat The Citizens merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini, selain berharap agar wakil-wakil dari England mampu meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Juara-Juara Eropah.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen