Tigress perlu ‘cakar’ Perancis 

Oleh Mirnawan Nawawi 13 June 2019 5491
Tigress perlu ‘cakar’ Perancis 
Pintu ke separuh akhir Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH sudah terbuka luas buat skuad hoki wanita negara kerana halangan mereka cumalah pasukan nombor 30 dunia, Perancis.

Jika dilihat kepada kedudukan ranking dunia, Perancis bukanlah lawan yang kuat buat Malaysian Tigress yang menghuni tangga ke-22 tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam era hoki moden sekarang.

Saya mahu mengingatkan barisan pemain supaya jangan sesekali memandang rendah kemampuan Perancis dan tidak dibuai lagi dengan kejayaan menewaskan Singapura 12-0 dan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Republik Czech dalam aksi Kumpulan A.

Walaupun kita berjaya menewaskan Republik Czech, yang merupakan pasukan No. 19 dunia, Perancis juga mempunyai rekod cemerlang dalam saingan Kumpulan B.

Saya tertarik dengan prestasi semasa dipamerkan skuad kendalian Gael Foulard itu yang lebih awal lagi mencipta kejutan dengan menewaskan ranking ketiga tertinggi kejohanan iaitu Scotland (nombor lapan dunia) dalam aksi pembukaan Kumpulan B.

Walaupun selepas itu kalah dua perlawanan berturut-turut, Perancis tewas dengan keputusan yang tipis, 2-3 kepada Kanada (nombor 26 dunia) dan 0-1 kepada Korea Selatan (nombor 11 dunia).

Bagaimanapun, saya percaya jika anak-anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu mampu mengekalkan corak permainan seperti ditunjukkan ketika menentang Republik Czech, kemenangan boleh berada dalam tangan Malaysian Tigress.

Mereka mengamalkan taktikal 'zonal marking' dan membuat 'high line' bermula daripada jentera serangan yang dilihat menyukarkan pemain pertahanan Republik Czech untuk membuat hantaran kepada rakan sehingga terpaksa membuang bola kerana 'pressure' yang cukup tinggi.

Saya juga melihat sikap pemain negara yang agresif dalam melakukan 'tackling' dan tidak takut untuk ‘berlanggar’ dengan pihak lawan adalah salah satu faktor kemenangan itu.

Cumanya, skuad negara masih belum memperbaiki beberapa aspek seperti hantaran tepat kepada rakan dan bijak mencari pukulan sudut penalti selain mempertajamkan penyudah akhir sama ada daripada segi percubaan gol padang mahu pun pukulan sudut penalti.

Jika semuanya menjadi, tidak mustahil Perancis dapat dikalahkan dan kita akan berjumpa Korea Selatan di peringkat separuh akhir.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen