Tigress mula tonjol belang

Oleh Mirnawan Nawawi 30 May 2019 16890
Tigress mula tonjol belang
Pasukan hoki wanita kebangsaan semakin memperlihatkan karakter permainan sebenar dalam fasa persediaan di Eropah ketika ini sebelum Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Banbridge, Ireland Utara bermula 8 Jun ini.

Malaysian Tigress menampilkan aksi positif apabila mengikat pasukan No. 17 dunia, Itali, dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan kedua kejohanan Saingan Tiga Penjuru di Rom semalam.

Biarpun seri tetapi saya berasakan ia satu keputusan yang memberangsangkan kerana anak-anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu sebenarnya menguasai lebih banyak permainan berbanding Itali.

Saya difahamkan mereka berjaya mendapatkan tujuh peluang untuk menjaringkan gol melalui gerakan padang serta enam pukulan sudut penalti berbanding Itali cuma dua sahaja.

Namun, skuad negara cuma satu sahaja gol berjaya dijaringkan oleh Nuramirah Syakirah Zulkifli melalui jaringan padang manakala Itali menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan penalti stroke.

Saya melihat situasi ini sebagai satu perkara yang bagus kerana para pemain seakan-akan sudah menampakkan rentak berbanding kekalahan teruk 1-5 kepada Sepanyol dalam aksi pertama sehari sebelum itu.

Malah, mereka juga berjaya mengecilkan keputusan perlawanan selepas kalah kali kedua kepada Sepanyol lewat malam semalam dengan keputusan 2-4.

Apa yang saya dapat melihat daripada perlawanan itu adalah barisan pemain perlu memperkemaskan benteng pertahanan kerana mereka membenarkan Sepanyol menjaringkan empat gol terlebih dahulu.

Dari sudut positif, mereka masih mampu menembusi gawang Sepanyol sebanyak dua kali memandangkan lawan tersebut adalah pasukan No. 7 dunia berbanding skuad negara jauh di No. 22 dunia.

Jika kelemahan dapat diperbaiki dan pada masa sama mengekalkan corak permainan semasa, saya percaya tidak mustahil skuad negara boleh meraih kemenangan sulung dalam aksi terakhir menentang Itali esok.

Kemenangan ke atas Itali yang membuat penampilan pada Piala Dunia 2018 sudah tentu akan melonjakkan semangat para pemain untuk menghadapi Pusingan Akhir Siri Hoki FIH.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen