Tigress membanggakan nama Malaysia

Oleh Mirnawan Nawawi 17 June 2019 7285
Tigress membanggakan nama Malaysia
Walaupun skuad hoki wanita negara gagal ke pentas final Pusingan Akhir Siri Hoki FIH tetapi kejayaan meraih tempat ketiga tetap satu pencapaian membanggakan.

Jika dilihat sebelum pertandingan, Malaysian Tigress adalah pasukan ranking kelima terbaik kejohanan iaitu No. 22 dunia di belakang naib juara Piala Dunia 2018, Ireland (No. 8 dunia), Korea Selatan (No. 11 dunia), Scotland (No. 18 dunia) dan Republik Czech (No. 19 dunia).

Namun, pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ini masih berjaya muncul pasukan tempat ketiga terbaik dengan menewaskan Republik Czech 3-0.

Sebenarnya ia adalah kali kedua skuad wanita menewaskan Republik Czech dalam kejohanan itu meskipun lawan tersebut mempunyai ranking dunia yang lebih baik.

Secara keseluruhan, saya melihat Malaysian Tigress sebenarnya tidak layak untuk menduduki ranking ke-22 dunia kerana berdasarkan prestasi dan keputusan sejak kebelakangan tahun termasuk kejohanan itu, mereka sepatutnya menghuni kelompok 20 terbaik dunia.

Mungkin kita akan dapat menyaksikan peningkatan ranking skuad wanita sebaik FIH mengumumkan kedudukan terbaharu berdasarkan pungutan mata yang diraih dalam kejohanan-kejohanan seperti Sukan Asia 2018 dan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH ini nanti.

Berdasarkan format kejohanan, Malaysian Tigress tidak akan beraksi di pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 kerana gagal melangkah ke pentas final.

Saya difahamkan ada sinar menanti mereka kerana jika perubahan ranking nanti menyaksikan skuad wanita berada dalam kelompok 20 terbaik, mungkin peluang itu kembali semula terbuka buat mereka.

Secara peribadi, saya merasakan kita berhak untuk bermain di pusingan kelayakan tersebut kerana prestasi semasa selain keupayaan sebenar barisan pemain negara.

Apa pun, sama-sama kita nantikan adakah peluang itu kembali terbuka atau pun sudah tertutup buat pasukan Malaysian Tigress. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen