Tiga bulan lagi Portugal

Oleh 16 March 2018 5119
Tiga bulan lagi Portugal
Di atas katil bernombor 20 Wad 5A Hospital Putrajaya, saya berdebar atas dua sebab. Satu daripadanya, menantikan pasukan mana yang akan memenangi perlawanan akhir kejohanan Euro 2016.

Ternyata debaran itu berbaloi apabila pasukan kesayangan, Portugal, menundukkan Perancis. Nasib baik juga ada siaran Astro bersama saya. Jika tidak terpaksalah agaknya mengikuti perkembangan aksi penuh drama yang berlarutan ke masa tambahan itu di akaun Twitter atau Whatsapp sahaja.

Itu kenangan yang takkan saya lupakan setiap kali mengingati kejayaan Portugal di pentas berprestij Eropah itu dan individu yang bertanggungjawab memberi sentuhan magis untuk sebuah kejutan adalah Fernando Santos. Pemain pertahanan Portugal yang bersara pada 1987 ini memiliki reputasi baik dalam bidang kejurulatihan, antaranya menjulang lima kejuaraan utama bersama Porto dan membantu Skuad Kebangsaan Greece.

Selepas kembali ke negara kelahirannya pada 2014, corak permainan Portugal ternyata menunjukkan perubahan ketara di bahagian pertahanan, bersesuaian dengan kepakarannya di kubu pertahanan yang melakukan 182 penampilan pada peringkat senior dan berpeluang meledak tiga gol.

Tiada rahsia, Santos seringkali menggunakan formasi 4-4-2 untuk membentuk pasukan yang 'solid' tetapi sedar pasukannya tidak akan mendapat banyak peluang untuk melakukan serangan. Disinilah kepakaran pemain untuk tidak mensia-siakan peluang berharga diperlukan dan kualiti itu ada pada Cristiano Ronaldo yang mungkin sahaja lebih senang dibantu Andre Silva atau Bernardo Silva yang sedang cipta sensasi bersama Manchester City. 

Itu perancangan atas kertas yang boleh dijangkakan dari kotak pemikiran Santos menjelang Piala Dunia 2018 tetapi realitinya, cabaran sukar menanti seawal aksi pertama peringkat kumpulan. Tepat tiga bulan lagi iaitu pada 16 Jun, Portugal perlu berdepan Sepanyol dan sekiranya berjaya melepasi halangan pusingan pertama ini, pasukan handalan dunia masih perlu ditundukkan Portugal dalam laluan ke final seperti juara bertahan dan pemenang empat kali, Jerman dan Brazil, yang pastinya mahu mempertahankan pasukan dengan gelaran juara terbanyak.

Bagaimanapun kemenangan aksi pertama kempen ini sebenarnya penting untuk meningkatkan motivasi kem Portugal, malah ada yang percaya ia mampu curi tuah Sepanyol seperti mana pasukan itu menang Euro 2008 yang diikuti kejayaan di Piala Dunia 2010. Mana tahu, Portugal mampu meneruskan rentak kejuaraan di Rusia pula nanti, cuma kali ini saya berharap dapat tonton di tempat yang lebih meriah, sudah pasti bukan di hospital ya!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen