Tidak mustahil buat Malaysian Tigress

Oleh Mirnawan Nawawi 29 May 2019 878
Tidak mustahil buat Malaysian Tigress
Kekalahan 1-5 kepada Sepanyol dalam aksi persahabatan di Rom, Itali, kelmarin bukan pengukur keupayaan sebenar pasukan hoki wanita negara untuk menghadapi Kejohanan Pusingan Akhir Siri Akhir Hoki FIH di Banbridge, Ireland Utara, bermula 8 Jun ini.

Ia adalah kekalahan pertama Malaysian Tigress dalam Kejohanan Jemputan Tiga Negara yang merupakan aksi pemanas badan buat skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu.

Bagi saya, kekalahan dalam aksi persahabatan sebenarnya bukanlah satu perkara besar kerana kebiasaannya jurulatih lebih berminat untuk menguji taktikal permainannya.

Mungkin juga para pemain masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan persekitaran di Eropah selepas baru sahaja tiba di sana beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, saya akui kemenangan dalam aksi pemanas badan sememangnya mampu melonjakkan moral dan semangat para pemain untuk menghadapi kejohanan sebenar mereka.

Semua sedia maklum, skuad wanita negara adalah pasukan di ranking kelima terbaik dalam Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di belakang Ireland, Korea Selatan, Republik Czech dan Scotland.

Dalam kejohanan itu, hanya dua slot terbaik yakni pasukan yang mara ke pentas final akan meraih tiket ke pusingan kelayakan akhir ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam era hoki moden sekarang, tiada yang mustahil apatah lagi Malaysian Tigress juga sudah beberapa kali memperlihatkan kejutan demi kejutan ke atas pasukan-pasukan yang mempunyai ranking dunia lebih tinggi.

Situasi yang sama terjadi sewaktu saingan lelaki  Pusingan Akhir Siri Akhir Hoki FIH di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Siapa sangka pasukan ranking terendah, iaitu Itali, mampu mencipta kejutan untuk memenangi semua aksi dalam peringkat kumpulan dan muncul pemenang tempat ketiga di belakang dua negara pilihan, Kanada dan Malaysia.

Jadi, saya amat percaya jika anak-anak buah Dhaarma dapat menampilkan kelas permainan tersendiri dan mengikut setiap perancangan, mungkin Malaysian Tigress ada peluang untuk melakar kejutan di sana.

Malaysian Tigress diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Ireland, Republik Czech dan Singapura sementara Kumpulan B terdiri daripada Korea Selatan, Scotland, Ukraine dan Perancis.

Saya berasakan format pertandingan yang digunakan mampu memberi peluang kepada skuad wanita.

Juara setiap kumpulan mara automatik ke separuh akhir manakala pasukan tempat kedua dan ketiga akan bermain aksi crossover mencari tiket ke separuh akhir.

Malaysian Tigress sudah 'sebelah kaki' ke aksi crossover dengan sekurang-kurangnya muncul pasukan tempat ketiga jika dilihat kepada saingan Kumpulan A.

Bagaimanapun, saya amat berharap skuad wanita mampu mencipta kejutan meraih keputusan positif ke atas Ireland atau Republik Czech untuk menduduki kedudukan lebih bagus agar berpeluang bertemu lawan setaraf pada aksi crossover nanti.

Ayuh sama-sama kita berikan sokongan padu kepada skuad wanita negara.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen