Tiba tempoh matang  

Oleh Rizal Hashim 4 April 2018 1685
Tiba tempoh matang  
APABILA mencecah usia 21 tahun, seorang manusia dianggap dewasa.
 

Sukan Komanwel – temasya sukan diilhamkan oleh British bagi mengenang penguasaan terhadap tanah jajahan mereka satu ketika dahulu dengan nama asalnya Sukan Empayar British – masuk edisi ke-21 di Gold Coast bermula hari ini.
 
Dua puluh temasya Komanwel berlalu merentasi 88 tahun, sejak Hamilton, Kanada, menjadi tuan rumah.
 
Malaysia mengambil bahagian hanya pada 1950 di Auckland tetapi tidak mengirim kontinjen ke Vancouver 1954 atas sebab kesempitan wang manakala edisi di Edinburgh 1986 dipulau kerana kerajaan Malaysia menganggap British menyokong dasar apartheid Afrika Selatan.
 
Sukan Komanwel meninggalkan impak besar dalam sejarah sukan negara.
 
Selepas terpilih menjadi hos pada 1998 dengan menewaskan Adelaide pada mesyuarat Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) di Barcelona 1992, Malaysia melonjakkan pembangunan program sukan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dijadikan agensi penyelaras sukan prestasi tinggi menerusi program Jaya’98.
 
Hasilnya, kontinjen negara memungut 10 pingat emas, termasuk dari disiplin tinju, olahraga, gimnastik berirama, menembak dan boling tenpin selain penyumbang tetap – badminton dan angkat berat bagi menduduki tangga keempat keseluruhan dari segi kedudukan pingat..
 
Namun, tahukah anda, sebelum usaha melobi dan akhirnya memenangi hak penganjuran Sukan Komanwel 1998, Malaysia menawarkan diri kepada CGF untuk menjadi tuan rumah edisi 1982 yang kesudahannya dianjurkan Brisbane?
 
Penyertaan kontinjen Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya dan seterusnya Malaysia meninggalkan kenangan penuh warna-warni.
 
Tahukah anda perenang Cheah Tong Kim dan pengurus pasukan renang, Oh Boon Lian, nyaris tertinggal pesawat berlepas ke Kingston, Jamaica untuk edisi 1966 gara-gara cuai?
 
Tahukah anda presiden Persatuan Olahraga Amatur Malaya (MAAA), Oh Boon Tat yang juga seorang guru di Bukit Mertajam, hanya tampil selaku ketua kontinjen di Cardiff, atau waktu itu dipanggil pengurus pasukan, selepas menghadiri majlis minum petang atau tea party di Istana Buckingham pada 1958?
 
Tahukah anda, atas inisiatif Edward Strickland selaku setiausaha Majlis Olimpik dan Sukan Singapura, akhirnya kontinjen Malaya dikirim ke Sukan Empayar British di Auckland pada Februari 1950 dengan dianggotai enam atlet?
 
Dua badang angkat berat, Koh Eng Tong dan Tho Fook Hung, mengutip emas featherweight dan bantamweight.
 
Pensyarah fizik di Universiti Malaya yang kemudian menjadi Pengetua pertama Kolej Tunku Abdul Rahman, Thong Saw Pak, memungut perak lightweight dan Tan Kim Bee memenangi gangsa heavyweight, manakala dua wakil olahraga, Lloyd Oscar Valberg (lompat tinggi dan lari berpagar) dan Ng Liang Chiang (lari berpagar) melengkapkan kontinjen enam atlet.
 
Valberg yang juga datuk saudara juara Olimpik 2016, Joseph Schooling, menduduki tangga ketujuh dalam 120 ela lari berpagar dan ke-11 dalam lompat tinggi.
 
Valberg menjadi wakil sulung Singapura ke Sukan Olimpik di London pada 1948 tetapi menyarung singlet Malaya di Auckland 1950.
 
Tahukah anda ketua kontinjen, Tan Sri Khaw Kai Boh, berlepas ke Kingston, Jamaica, pada Ogos 1966 lewat kerana menjaga ibunya yang sakit manakala urusan di sana dikendalikan setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Thong Poh Nyen?
 
Begitulah keadaannya ketika atlet dan pegawai mendepani cabaran Sukan Komanwel di kala pemergian mereka dibiayai penaja tertentu.
 
Daripada sumbangan Fook Hung dan Eng Tong yang memenangi emas di Auckland pada 6 Februari 1950, sehingga emas keenam kontinjen di Glasgow pada 3 Ogos 2014 dan ke-54 secara keseluruhan menerusi Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam beregu lelaki, kontinjen Malaysia kekal mewarnai Sukan Komanwel.
 
Dalam 15 penyertaan kontinjen negara, 54 emas, 65 perak dan 71 gangsa dihimpun, dengan Koo Kien Keat, pakar beregu badminton negara, mengumpul lima emas – dua menerusi beregu lelaki dan berpasukan campuran di Melbourne 2006 serta tiga melalui beregu lelaki, berpasukan campuran dan beregu campuran di New Delhi 2010.
 
Namun untuk mengharap Malaysia membawa pulang setidak-tidaknya 12 emas seperti di New Delhi agak sukar. Begitu juga 10 emas yang dimenangi di KL’98, temasya Komanwel terakhir alaf lalu.
 
Angka lapan atau sembilan barangkali lebih wajar, meskipun pengurusan prestasi atlet paling elit kini dikendalikan Podium.
 
Apapun emas harus menyinari Gold Coast, seindah namanya, sehebat bandarayanya.
 
 
 
SENARAI KETUA KONTINJEN SEJAK 1950
 
1950 EDWARD STRICKLAND
 
1954 TIDAK BERTANDING
 
1958 OH BOON TAT
 
1962 OH BOON TAT
 
1966 TAN SRI KHAW KAI BOH
 
1970 SUM KWOK SENG
 
1974 TUNKU ADNAN TUNKU BESAR BURHANUDDIN
 
1978 THONG POH NYEN
 
1982 TAN SRI KHIR JOHARI
 
1986 TIDAK BERTANDING
 
1990 TAN SRI ELYAS OMAR
 
1994 ALLY ONG
 
1998 DATUK KHALID YUNUS
 
2002 W.Y. CHIN
 
2006 TAN SRI KEE YONG WEE
 
2010 TAN SRI HALIL MUTALIB
 
2014 DATUK ONG POH ENG
 
2018 HUANG YIN HOW

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen