Tiada pilihan, misi wajib menang

Oleh Mirnawan Nawawi 4 December 2018 714
Tiada pilihan, misi wajib menang
Lupakan episod kekalahan teruk 0-7 kepada Belanda dan bangkit memberikan fokus sepenuhnya kepada misi wajib menang ke atas Pakistan dalam aksi kedua Kumpulan D, Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, esok.

Kekalahan kepada Belanda sudah dijangka tetapi tujuh jaringan yang dihasilkan oleh pasukan naib juara edisi empat tahun lalu itu terlalu banyak.

Situasi ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan peluang skuad negara daripada segi perbezaan jumlah jaringan gol jika seri menentang Pakistan nanti dalam mengejar misi menghuni kelompok tiga teratas dalam Kumpulan D untuk mara ke pusingan play-off.

Saya percaya skuad hoki negara semestinya kecewa dengan kekalahan besar kepada pasukan No. 4 dunia itu kerana tidak menjangkakan kelebihan sebegitu rupa.

Apa yang penting buat Malaysian Tigers sekarang ialah mempelajari pengalaman tersebut kerana saya melihat ada beberapa pemain nampak gugup ketika beraksi sepanjang perlawanan pertama itu.

Aspek bertahan sebagai satu pasukan harus dimantapkan lagi dalam misi memburu kemenangan pertama kerana sasaran para peminat hoki tanah air terlalu tinggi buat para pemain untuk menewaskan Pakistan esok.

Ia bukan satu tugas mudah kerana Pakistan juga dilihat serius mengintai kedudukan ketiga hingga menyukarkan satu lagi gergasi Eropah, Jerman, yang bergelut untuk menewaskan mereka.

Jerman yang menduduki ranking keenam dunia cuma berupaya menang 1-0 sahaja ke atas Pakistan yang merupakan pasukan No. 13 dunia.

Jadi, saya percaya skuad bimbingan Roelant Oltmans perlu memberikan lebih daripada tahap terbaik untuk meraih tiga mata ke atas Pakistan berdasarkan situasi semasa kedua-dua pasukan.

Para pemain tidak boleh menunjukkan prestasi di bawah tahap sebenar mereka, sebaliknya harus memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.

Anggaplah aksi menentang Pakistan ini merupakan misi hidup mati kerana keputusan seri akan menyaksikan peluang skuad negara amat tipis untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen