Tiada lagi kelibat Zaidatul & Jonathan di trek MSN! 

Oleh Nur Amira Ibrahim 27 February 2019 2170
Tiada lagi kelibat Zaidatul & Jonathan di trek MSN! 
Itulah yang sempat saya luahkan kepada Adeq atau Zaidatul Husniah Zulkifli, pelari pecut wanita negara kita apabila sudah pun terbang ke Amerika Syarikat selama 8 bulan bagi mengikuti program latihan intensif. 

Zaidatul bersama seorang lagi pelari pecut lelaki, Jonathan Nyepa dan jurulatih, M.Balamurugan, sudah pun berlepas ke Amerika Syarikat Isnin lalu. 

Dua atlet negara ini mendapat tajaan penuh daripada syarikat Edra Power Holdings Sdn Bhd bagi menjalani latihan bersama kelab The Winners Circle US dan menariknya, mereka akan turut dibimbing oleh bekas juara dunia, Dwight Philips, bersama-sama jagoan dunia lain. Hebat bukan? 

Semestinya, usaha jurulatih, Balamurugan, harus dipuji apabila berjaya mendapatkan tajaan penuh bagi dua anak didiknya demi pencapaian terbaik pada tahun ini. 

Ini kerana mereka belum pernah berlatih di luar negara dalam tempoh masa yang lama di mana kem latihan di Afrika Selatan pada 2017 juga sekadar 3 bulan sahaja bagi persediaan ke Sukan Sea Kuala Lumpur. 

Menyedari peruntukan juga agak terhad pada tahun ini, sudah pasti inisiatif Balamurugan untuk mencari penaja tidak boleh disia-siakan oleh Zaidatul dan Jonathan bagi memastikan prestasi memberangsangkan beroleh di sana. 

Sasarannya adalah untuk cuba layak secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia di Doha, Qatar selain misi juara di pentas Sukan Sea Filipina 2019.

Sememangnya untuk lakar sejarah menjadi atlet pecut negara layak secara merit ke Kejohanan Dunia bukan sesuatu yang mudah dengan tahap kelayakan yang tinggi iaitu 10.10 saat bagi pelari lelaki dan 11.24 saat buat wanita dalam acara 100 meter.

Namun, tiada yang mustahil andai fokus mereka adalah lebih 100% dalam sesi latihan di sana. 

Bahkan, Jonathan sendiri tidak menolak tiada lagi gangguan di luar trek selain masa yang agak terhad untuk diberi perhatian kepada sesi pembelajaran sebelum ini selaku pelajar. Nyata, keputusannya untuk menangguhkan pelajaran adalah tepat. 

Apa pun, saya sendiri pasti akan merindui kelibat dua atlet negara ini di trek dan pastinya tiada lagi sesi temubual bersama Nadi Arena selama 8 bulan ini. 

Selamat maju jaya kami ucapkan untuk Adeq dan Jonathan!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen