Tewas tapi amanah terjaga

Oleh Nafis Abdullah 10 May 2019 9805
Tewas tapi amanah terjaga
Rentetan laluan cemerlang yang dilalui Ajax di pentas Liga Juara-Juara Eropah musim ini akhirnya lebur susulan kejutan yang dipamerkan Tottenham Hotspurs dalam separuh akhir kedua awal pagi semalam.

Dua gol dalam babak pertama oleh kapten, Matthijs de Ligt, serta tonggak tengah, Hakim Ziyech, jelas gagal membawa skuad kendalian Erik Ten Hag itu ke final walaupun pada satu ketika memegang kelebihan agregat 3-0 tetapi tetap tidak mampu menamatkan penantian ke pentas akhir selama 23 tahun.



Lebih perit, jaringan ketiga yang diraih Spurs di Johan Cruyff Arena itu menerusi Lucas Moura -- yang turut muncul pemain Brazil pertama mencatat hatrik dalam separuh akhir Liga Juara-Juara -- hadir dalam waktu kecederaan, ketika permainan berbaki kurang dari lima saat.

Bagaimanapun, ada perkara yang masih boleh dibanggakan sesetengah pemain Ajax dalam aksi tersebut.

Meskipun berdepan dua aksi paling penting musim ini, duo tengah, Ziyech dan Noussair Mazraoui, tetap tidak mengabaikan tanggungjawab selaku Muslim apabila tetap menjalankan ibadah puasa dalam bulan Ramadan.



Setelah bersahur sebelum jam 3:18 pagi (waktu Amsterdam) dan hanya boleh makan serta minum selepas 9:18 malam, mereka mula berbuka menggunakan makanan tenaga pada minit ke-24 permainan, sembilan minit sebelum Ziyech menjadikan kedudukan 2-0 di depan penyokong sendiri.

Namun, kecemerlangan yang dipamerkan anak buah Ten Hag itu tidak berjalan lancar dalam babak kedua, termasuk peluang keemasan Ziyech yang sekadar menyaksikan dua rembatan kaki kirinya tersasar dan terkena tiang gol, sebelum Moura melenyapkan sorakan peminat tuan rumah menerusi gol ketiga.

"Saya sepatutnya menjaringkan gol tetapi terkena tiang. Sekurang-kurangnya satu peluang saya menghasilkan jaringan. Saya menyalahkan diri sendiri atas kegagalan ini. Kami sudah memberikan segalanya. Permainan tidak sempurna tetapi kami tetap berjuang," kata Ziyech.



Kegagalan Ajax di pentas Eropah pastinya mengecewakan, lebih-lebih lagi selepas mengejutkan Real Madrid dan Juventus dalam pusingan kedua serta suku akhir tetapi ia harus membanggakan jika mengambil kira perhatian yang diberikan kepada mereka sejak sepak mula kempen 2018-19.

Kini, fokus anak buah Ten Hag pastinya terarah kepada impian menjulang trofi Liga Eredivisie dan melengkapkan dua kejayaan musim ini selepas meraih kejuaraan Piala Belanda, Isnin lalu, susulan kemenangan 4-0 ke atas Willem II dalam final.

Apa yang penting, tabik hormat tetap diberikan buat Mazaroui dan Ziyech atas kesungguhan menjalankan amanah agama walaupun berdepan aksi getir. Tabik!
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen