Terlalu agung auramu, Chong Wei

Oleh Hishamuddin Aun 14 June 2019 1097
Terlalu agung auramu, Chong Wei
Sehingga awal 2017, Datuk Lee Chong Wei masih memegang rekod pukulan smash terpantas di dunia pada kelajuan 408km sejam seperti dirakamkan oleh teknologi Hawk-Eye.

Ia dilakukannya dalam Kejohanan Terbuka Hong Kong di Coliseum, Kowloon yang berlangsung dari 17-22 November 2015 selepas menamatkan penggantungan lapan bulan gara-gara kesalahan doping.

Namun, evolusi dalam peralatan badminton dengan kajian dan pembangunan (R&D) rancak menyaksikan raket dan tali lebih bermutu dihasilkan, rekod itu diperbaharui pakar beregu Denmark, Mads Pieler Kolding, berselang cuma 13 bulan kemudian dengan smash berkelajuan 426km sejam.

Kolding, antara pemain badminton tertinggi di dunia pada 2.05 meter (6 kaki 9 inci), melakukannya pada penghujung satu rali 40 pukulan ketika mewakili Chennai Smashers menentang Mumbai Rockets dalam Liga Badminton Perdana (PBL) India yang berlangsung dari 1-14 Januari 2017.

Jurang kelajuan 18km sejam itu barangkali kecil, namun dilihat sesuatu yang besar berdasarkan persekitaran di dalam gelanggang, termasuk aliran angin.

Sebagaimana kedudukan keduanya itu daripada segi kelajuan smash yang dipertahankan hingga persaraannya semalam, ia seakan-akan turut menyimpulkan karier 19 tahun Chong Wei -- yang di mata dunia adalah pemain kedua terbaik sepanjang zaman di belakang jaguh China, Lin Dan.

Dunia akan sentiasa menghakiminya sedemikian kerana kerapnya dia kecundang pada halangan terakhir – sama ada di tangan Super Dan atau bila mana musuh ketatnya itu tersingkir, rakan senegaranya, Chen Long, pula akan menghadiahkannya kekecewaan.

Kita tidak akan mampu mengubah persepsi dunia yang bersandarkan rekod kejayaan dalam kejohanan utama, khususnya Kejohanan Dunia BWF, Sukan Olimpik dan Piala Thomas – ketiga-tiganya menyaksikan legenda Malaysia itu tidak pernah bergelar juara.

Kejohanan Seluruh England, yang dulunya secara tidak rasmi dianggap saingan terulung tidak lagi tergolong antara gelaran utama melainkan prestij dan tradisinya selaku kejohanan tertua di sebalik Chong Wei menjuarainya sebanyak empat kali (2010, 2011, 2014, 2017).

Dianggap sandaran terbaik untuk menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik, kekecewaannya bagaimanapun berlarutan dengan kekalahan dalam final kepada Lin Dan dalam edisi 2008 dan 2012 serta Chen Long di Rio de Janeiro dalam edisi 2016.

Rekodnya tidak banyak berbeza dalam Kejohanan Dunia dengan dua kali dihampakan Super Dan dan kali ketiga kepada Chen Long dalam edisi 2011, 2013 dan 2015 – yang sekadar memahatkan lagi kedudukannya selaku pemain kedua terbaik dunia yang pernah dilahirkan.



Laman sesawang berpangkalan di India, www.firstpost.com, dalam merakamkan penghargaannya terhadap Chong Wei menukilkan: “Di sebalik 705 kemenangan dan 69 kejuaraan yang dilakarnya, termasuk lima pingat emas Sukan Komanwel, empat kejuaraan Seluruh England dan catatan rekod 47 kejayaan dalam Siri Super BWF, karier Lee akan lebih dikenang daripada kekecewaannya berbanding kejayaannya.”

Dalam pada itu, laman berkenaan juga merumuskan bahawa dengan kurniaan bakat semula jadinya yang luar biasa – dikagumi kerana permainan liciknya di jaring serta smash kencang merintangi gelanggang -- Chong Wei telah mendominasi sirkit badminton dunia dengan cara yang tidak mampu dilakukan mana-mana pemain lain.

“Cuma, jaguh Malaysia ini, kekal dalam bayang-bayang Lin Dan dalam karier masing-masing yang berjalan beriringan, (apatah lagi) setelah terlepas pingat emas kepada jaguh China itu dalam kedua-dua Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012,” tambahnya.

Kesudahannya, rekod pertemuan di antara kedua-duanya sepanjang 15 tahun di antara 2004 dan 2018 tercatat sebagai 28-12 yang lebih memihak pemain kidal China itu.

Chong Wei, dalam surat terbuka kepada peminat sempena pengumuman persaraannya semalam, menyatakan dia berundur tanpa sebarang kekesalan – tidak juga impiannya memburu emas dalam kemunculan keempat dalam Sukan Olimpik 2020 yang kini harus dilupakan. 

Harus peminat juga merelakan pengundurannya tanpa sebarang rasa sesal kerana sedemikian banyak kebanggaan yang dikongsikannya daripada pertarungan epik dan kejaguhan di gelanggang sebagai cenderahati perpisahan.

Bertakhta di kedudukan nombor satu dunia untuk tempoh selama 349 minggu – hanya kurang 15 minggu di bawah tujuh tahun – termasuk 199 minggu berturut-turut di antara 2008 dan 2012 yang hanya mampu diimpikan dan dicemburui barisan pesaingnya, sudah terlalu banyak kegembiraan yang dihadirkannya berbanding dunia badminton yang lebih cenderung menyorot kekecewaannya.

Di mata rakyat Malaysia, bagaimanapun, Chong Wei tetap juara – kalaupun bukan raja di gelanggang Olimpik dan Kejohanan Dunia, dia tetap beraja di hati peminat setianya.

Terlalu agung auramu, juara rakyat Malaysia.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen