Terjunan menggegar dunia!

Oleh Akbar Sahari 20 July 2017 329
Terjunan menggegar dunia!
Entah bagaimanakah agaknya terjunan Cheong Jun Hoong? Langsung tiada percikan air ke? Mungkin ini pertanyaan kita, spontan sebaik mengetahui berita kejayaan penerjun negara ini muncul juara dunia seawal pagi di media sosial.

Masakan tidak, Jun Hoong bukan sahaja menewaskan ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang menduduki tangga terakhir di final acara 10 meter platform individu Kejohanan Dunia FINA ke 17di Budapest tetapi...

Gadis berusia 28 tahun dari Perak ini menewaskan juara Olimpik Ren Qian dari China, menenggelamkan juara bertahan dari Korea Utara Kim Kuk Hyang dan menghapus reputasi hebat juara dunia 2013 dan pemenang pingat perak Olimpik Rio, Si Yajie.

Seluruh dunia terpegun dengan terjunan sempurna 2 penerjun sensasi China, Ren Qian dan Si Yajie di final acara sama di Sukan Olimpik Rio tahun lalu. Ada yang menggelar mereka duyung emas di lautan sehinggakan barisan juri turut terpesona dengan memberikan keduanya mata tertinggi untuk dinobatkan pingat emas buat Qian dan perak untuk Yajie di Pusat Akuatik Maria Lenk di Rio de Janeiro.

Sedangkan Jun Hoong hanya memerhatikan aksi mereka dari galeri penonton dengan rasa kagum sambil hanya menggenggam pingat perak acara 10 meter platform seirama bersama Pandelela 9 hari sebelumnya.

Tetapi siapa sangka dalam tempoh hanya 10 bulan, 2 bintang China yang dipujanya di Brazil - tenggelam di Hungary. 

Cuba kita pejamkan mata dan bayangkan terjunan sempurna Ren Qian dan Si Yajie yang membuatkan kita terlopong, dan selepas itu bayangkan pula bagaimana terjunan memukau Jun Hoong di final Kejohanan Dunia ini. Menandingi kesempurnaan milik China.

Sukar digambarkan dengan kata-kata! Hatta si ikan duyung pun tidak mampu lagi membelah lautan. Kejayaan hebat ini memahat namanya selaku atlit terjun pertama negara memenangi emas di Kejohanan Dunia FINA sekaligus bergelar juara dunia.

Syabas Jun Hoong, terus gegarkan arena sukan terjun - demi mengangkat martabat sukan negara ! 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen