Tenggelam timbul Khairul Fahmi Che Mat

Oleh Zainal Abidin Rawop 17 March 2017 1775
Tenggelam timbul Khairul Fahmi Che Mat

Kariernya ibarat roda, satu ketika berada di atas dan ketika ini berada di bawah.

Bukan itu sahaja, lebih pahit kerana dia seolah-olah menerima tamparan apabila diketepikan dua perlawanan berturut-turut oleh Kelantan, malah semakin perit gara-gara turut disingkirkan daripada skuad negara.

Sudah pasti dia berharap senario ini hanyalah sementara, seumpama roda, yang dia akan kembali di atas.

Sudah hilang motivasi? Semangat yang semakin luntur? Terlalu mengambil mudah? Apa sudah jadi kepadanya? Apakah bola sepak negara bakal kehilangan seorang lagi pemain dan penjaga gol berbakat?

Itulah yang sedang berlegar di kepala peminat bola sepak mengenai kehilangan Khairul Fahmi Che Mat daripada skuad negara yang sepatutnya menentang Korea Utara, namun hanya akan berdepan Filipina buat kali ketiga sepanjang pasukan kebangsaan dikendalikan Datuk Ong Kim Swee.

Tapi apa pun alasannya, hanya dia yang lebih mesra disapa Apek yang mengetahuinya.

Segala-galanya bermula pada satu malam perlawanan sekitar 2009 di Stadium Sultan Mohammed Ke-4, apabila kesilapan pemain berpengalaman, Syed Adney Syed Hussain, membuka peluang kepadanya muncul penjaga gol termuda beraksi untuk Kelantan.

Yang lain, orang kata adalah sejarah dan Apek berupaya mengumpul tujuh piala atau kejuaraan peringkat kebangsaan dari 2010 hingga 2013 bersama Kelantan dan dua kejuaraan peringkat Asia Tenggara, iaitu juara Piala Suzuki 2010 dan pingat emas Sukan Sea 2011.

Sejumlah 44 penampilan antarabangsa dikumpul dan sering dianggap penjaga gol nombor satu negara bermula 2010 biarpun turut dicabar oleh seorang lagi Khairul, iaitu Khairul Azhan Khalid selain Farizal Marlias, nama Apek sentiasa tersenarai di dalam skuad latihan negara.

Tahun lalu, biarpun Kelantan dihimpit pelbagai masalah sehingga hampir berakhir di kelompok bawahan liga, namun dia tetap mempamerkan aksi konsisten.

Pernah dia hampir mendapat penghargaan tertinggi di peringkat Asia apabila tercalon sebagai penjaga gol terbaik, Asian Best XI 2011 oleh laman web goal.com

Apa lagi yang mahu dicerita di dalam resume bola sepaknya yang bercambah di Sekolah Sukan Bukit Jalil, berkembang dalam Kejohanan Remaja Kelab Dunia di bawah bimbingan Robert Alberts sehinggalah mekar selaku penjaga gol utama menggantikan Sharbinee Alawi selepas Malaysia dibelasah Indonesia dalam perlawanan pertama Piala Suzuki 2010.

Segala kejayaan itu telah menjulang namanya untuk meniti di bibir peminat bola sepak negara -- kecil, besar, tua, muda -- apatah lagi nama singkatannya lebih mudah dihafal berbanding untuk menyebut Khairul Fahmi Che Mat.

Tidak dinafikan Kelantan memiliki begitu ramai penjaga gol berkaliber yang tercatat di dalam memori saya, bermula dengan Hamid Ramli, Ausri Hussin, Kamarulzaman Mohamed, Halim Napi dan sudah pasti yang paling popular setanding artis, Apek sendiri.

Dua atau tiga musim kebelakangan, skuad The Red Warriors ditimpa pelbagai masalah, paling khusus ialah kekurangan dana atau mudah bahasa di sana, ‘pitih’.

Nasib bola sepak Kelantan amnya dan nasibnya, secara khusus, turut terjejas. Namun, dia tetap setia... 

Prestasi tersentap dek masalah ‘pitih’ dan ‘pitih’ jugalah mungkin dijadikan alasan utama mengapa persembahannya merosot sehingga ditolak ke bangku simpanan.

Kemerosotannya secara mendadak membuka ruang kepada bekas penjaga gol Harimau Muda, Ramadhan Abdul Hamid, merampas tempatnya sebagai benteng terakhir pasukan.

Tuah seolah-olah menyebelahi Ramadhan ketika ini. Dalam dua perlawanan, Kelantan mencatat kemenangan dengan menumpaskan Perak dan T-Team, dihiasi pula dengan hatrik Muhammad Ghaddar, membolehkan Kelantan kembali dipuji sementara Ramadhan dijulang biarpun dalam setiap perlawanan penjaga gol muda itu tetap bolos.

Ada indikasi menunjukkan kemunculan Ramadhan hanyalah sementara -- bermakna masih ada ruang dan peluang untuk Apek merampas kembali posisinya. Segala-galanya kini bergantung kepada beliau sendiri.

Namun, jangan alpa, Kelantan turut memiliki Ahmad Syihan, penjaga gol muda yang juga tonggak harapan skuad Frank Bernhardt.

Tidak dinafikan kelompok penjaga gol berkaliber negara melebihi barisan penyerang yang semakin pupus.

Penyokong tegar TRW sudah pasti mahukan Apek sebagai pilihan utama berbanding Khairul Azhan, Izham Tarmizi ataupun Hafizul Hakim dan yang terbaharu, Farizal Harun, setiap kali Harimau Malaysia beraksi.

Jika masalah ‘pitih’ adalah puncanya dan dijadikan alasan, Apek boleh membuat pilihan, sama ada kembali merebut tempat atau berhijrah ke pasukan baharu yang  menjanjikan masa depan yang lebih baik.

Usianya pun bakal mencecah 28 tahun, bermakna masih ada sekurang-kurangnya lima tahun lagi untuknya ‘terbang’ atau orang Kelantan sebut ‘nnaye’ di gawang mana-mana pasukan yang menagih khidmatnya.

Ketika ini, Gigi Buffon ataupun Iker Casillas yang hampir mencecah 40-an pun masih beraksi manakala Peter Shilton hatta Dino Zoff pun memenangi Piala Dunia pada usia 40 tahun, bermakna banyak lagi aksi Khairul Fahmi yang masih tersimpan.

'Glove' sudah disarung 'boot' pun sudah dipakai dan kini hanya Apek yang mampu menentukan hala tujunya.

Tepuk dada tanyalah iman....

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen