Tendangan anak petani Sabah

Oleh Bazly Azmi 20 July 2019 1185
Tendangan anak petani Sabah
Nor Syakirah Muksin masuk gelanggang pencak silat Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) dengan muka sedikit pucat. Ini penampilan sulungnya pada temasya sukan terbesar untuk pelajar sekolah rantau ini.

Langkah sembah juga tidak begitu cantik.

"Gitu aja?," kata penonton yang duduk di sebelah saya.

Tetapi bila gong dibunyikan, juara Sukan Malaysia (Sukma) 2018 itu tidak menoleh ke belakang. Jatuhan demi jatuhan dilakukan, membuatkan pesilat Laos, Noumtavan Thammaongsa hilang punca.

"Waduh hebat," terkejut penonton tadi.

Sorakan kem Malaysia kian bergema hingga pusingan ketiga - ketika Syakirah jauh mendahului lawan.

Noumtavan cuba melancar serangan tetapi Syakirah pantas melepaskan tendangan sisi, tepat ke dada lawan hingga jatuh tersungkur.

Penonton berdiri menyaksikan tendangan padu itu sebelum wasit mengesahkan ia jatuhan sah.

Syakirah menang dengan keputusan 5-0, kemenangan sulung pada penampilan pertama dan terakhirnya di ASG.

"Saya mahu emas. Saya mahu hadiahkan kepada ibu bapa saya di kampung," kata pesilat berusia 18 tahun ini.

Kenapa?

"Bapa saya petani. Dia sanggup berjalan kaki selama 1 jam setiap hari untuk menjual hasil tanaman di kampung (Kota Belut, Sabah). Ibu saya suri rumah, jadi saya perlu bantu mereka".

"Silat jalan keluar untuk kesusahan ini. Saya berikan semua elaun latihan (RM500 sebulan) dan wang hadiah kemenangan SUKMA (RM4500) kepada keluarga. Mereka perlukan wang itu kerana adik-beradik saya sembilan orang".

"Saya akan terus berusaha, selangkah demi selangkah untuk bergelar juara dunia," katanya.

Saya meninggalkan Syakirah dengan keyakinan bahawa dia pasti akan bawa pulang pingat. Warnanya akan ditentukan menerusi semangat juangnya di dalam gelanggang. 

Tendangan anak petani Sabah memang dahsyat. Mengecutkan pencabarnya dalam kelas Puteri C ASG. 

Moga emas untuk anda.  

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen