Tekong Thailand jadi buruan pertukaran

Oleh Azlan Mubin 11 October 2019 29112
Tekong Thailand jadi buruan pertukaran
Menjelang pusingan kedua saingan Liga Sepak Takraw (STL) hujung minggu ini pastinya lebih mencabar dan sengit buat 10 pasukan.

Sebelum itu, kita imbas kedudukan selepas sembilan perlawanan yang menyaksikan Penang Black Panthers dan Johor Tigris mengisi dua kedudukan teratas selepas masing-masing mencatatkan tujuh kemenangan. Namun, mereka hanya dibezakan dengan mata kemenangan dalam setiap set.

Ia diikuti pasukan Perak Bison dan Kelantan Warriors di kedudukan ketiga dan keempat selepas enam kemenangan. Posisi kelima hingga ketujuh pula membabitkan pasukan Kuala Lumpur Thunders, Negeri Sembilan Antlers dan ATM Guardians masing-masing dengan lima kemenangan.

Sementara itu, jurang jelas kelihatan buat toga pasukan terbawah, iaitu PDRM Defenders setakat ini dengan hanya memungut tiga kemenangan, Terengganu Turtles dengan satu kemenangan dan Sabah Mountaineers tanpa sebarang kemenangan.

Tetapi perjuangan belum selesai kerana setiap pasukan mahukan kebangkitan di pusingan kedua.

Lebih menarik, beberapa pasukan turut membuat pertukaran pemain terutama pasukan Johor Tigris apabila membawa masuk dua pemain import dari Thailand. Begitu juga Negeri Sembilan Antlers yang membuat penambahan import di posisi tekong.

Terengganu Turtles juga tidak mahu ketinggalan membawa masuk seorang tekong dan apit kanan juga dari Thailand serta pertukaran seorang pemain tempatan serta Perak Bison dengan pertukaran seorang pemain tempatan.

Siapa mereka? Sejauh mana kemampuan pemain-pemain baharu ini membantu pasukan? 

Akan terjawab tatkala saingan diteruskan hujung minggu ini di Gem In Mall, Cyberjaya, pada 11 hingga 13 Oktober ini.

Melihat perkembangan ini, saya cukup teruja untuk melihat peningkatan serta permainan lebih baik bakal ditampilkan setiap pasukan.

Selain itu, saya mengharapkan pemain-pemain tempatan agar menggunakan peluang terbaik berdepan pemain-pemain import dan yang lebih penting ialah perlu bersaing secara positif dalam perebutan selaku pemain utama pasukan.

Buat seluruh peminat STL, datang beramai-ramai memenuhi ruang Gem In mall, Cyberjaya untuk saingan minggu kelima dan keenam dan diikuti di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada minggu ketujuh dan kelapan kelak. 




 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen