Tangan, kaki Ronaldo sama ligat 

Oleh Shaiful Shamsudin 14 May 2019 19596
Tangan, kaki Ronaldo sama ligat 
Nama Ronaldo Henrinque Silva kini meniti di bibir peminat Perak.

Penyerang kelahiran Brazil yang baru tiba kurang seminggu di Ipoh itu pantas memahat namanya sebagai wira skuad Kejor Yob Kejor apabila dua jaringannya memadamkan kelebihan gol di tempat lawan milik PKNP FC.

Bak kata jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim: 'Sedangkan nasi dalam mulut pun boleh terjatuh, ' sebagai perumpamaan bahawa anak buahnya melepaskan peluang terhidang.

Ronaldo meledak gol kemenangan untuk membawa Perak ke separuh akhir Piala FA selepas menang 2-1, dalam aksi timbal balik di Stadium Perak, Sabtu lalu. 

Bagaimanapun, tindakannya yang sengaja menumbuk belakang badan Sukri Hamid pada minit ke-81 mungkin mengundang padah buatnya.

Biarpun pengadil, Firti Maskon, tidak mengesan insiden tersebut, aksi yang dihidangkan di kaca televisyen itu jelas menunjukkan Ronaldo melakukan kekasaran tidak sepatutnya.

Situasi itu bukan sahaja meningkatkan ketegangan di antara pemain kedua-dua pasukan kerana ia berlaku dalam situasi getir sehingga mengganggu kerancakan permainan. 

Ia juga mencalarkan reputasinya sebagai imej pemain import yang seharusnya menjadi contoh yang lebih baik. 

Selepas seri lapan kali, Perak yang menduduki tangga kelapan dalam kalangan 12 pasukan pasti tidak rela kehilangan ayam tambatan baru mereka itu dan Ronaldo seharusnya lebih berwaspada dengan aspek disiplin di atas padang. 

Bulan lalu, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2017-2021 telah mengenakan tindakan keras terhadap pemain Liga Super sehingga ke peringkat Piala Belia.

Antaranya, dua pemain Selangor, Muhammad Nurridzuan Hassan dan Amri Yahyah, didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana menunjukkan isyarat lucah terhadap penyokong lawan (Perak).

Mereka digantung satu perlawanan dan didenda sebanyak RM500 selain menerima amaran keras. 

Sementara itu, seorang pemain Sarawak untuk skuad Piala Belia pula digantung dua perlawanan kerana melanggar Artikel 50.1(d) dan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM berikutan menendang perut dan pemain lawan. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen