Tak sabar pindah rumah baru

Oleh Nur Amira Ibrahim 22 March 2019 1077
Tak sabar pindah rumah baru
Itulah kelegaan yang dirasai oleh jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, atau lebih dikenal sebagai Mike apabila kejayaannya mencipta nama di persada dunia akhirnya mendapat perhatian daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Menerusi kerjasama kementerian dengan pemaju perumahan Aset Kayamas Sdn Bhd, Mike menerima hadiah sebuah pangsapuri bernilai RM198,000 di Residensi Jalilmas yang berkeluasan 800 kaki persegi selain turut dilengkapi perabot dan barangan elektrik.

Sebelum ini, Mike menyifatkan kejayaannya raih gelaran Mr Universe sejak 2016 dan juara Asia sebanyak empat kali ibarat tidak memberi makna apa-apa apatah lagi dia juga terkecuali untuk berada dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) tahun ini.

Namun, hadiah pangsapuri yang diterimanya itu cukup bermakna untuk sekurang-kurangnya rasa dihargai dan diiktiraf selepas mengharumkan nama negara di persada dunia sekaligus cetus semangat untuknya terus berusaha.

Apa yang pasti, atlet berusia 45 tahun ini tetap berharap MSN mampu untuk sekurang-kurangnya beri bantuan bagi meringankan sedikit bebannya yang selama ini bekerja keras cari peruntukkan sendiri melakukan persiapan menjelang Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia.

Meskipun perit harungi perjalanan karier sebagai atlet saban tahun, ia tidak pernah mematahkan semangat Mike untuk terus membuktikan dirinya di kemuncak dunia dan bergelar Mr Universe sebanyak 3 kali.

Mike akan mula berpindah ke rumah baharunya itu sebaik sahaja kunci diserah pada 18 April ini.

Semoga dengan pengiktirafan yang diterima daripada Wilayah Persekutuan itu seterusnya beri sinar baharu kepada Mike untuk hadapi tahun 2019 dengan lebih lancar berbanding edisi terdahulu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen