Tahniah! tahniah dan tahniah

Oleh Azlan Mubin 15 November 2019 4413
Tahniah! tahniah dan tahniah
Harimau Malaya 2, Gajah Perang 1. Itu keputusan yang telah dilakar oleh pasukan Malaysia menundukkan Thailand dan kemenangan ini cukup bermakna buat pasukan negara dalam meneruskan perjalanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia 2023.

Kemenangan ini pastinya tehasil membabitkan usah pelbagai pihak.

Namun saya terarah untuk mengucapkan tahniah!tahniah dan tahniah kepada tiga pihak.

Tahniah yang pertama saya tujukan kepada pengendali utama Tan Cheng Hoe kerana percaturannya berjaya menumbangkan skuad Gajah Perang. Walaupun diasak dengan pelbagai perang psikologi, tetapi Cheng Hoe tenang dan berjaya tampilkan skuad terbaik.

Malah melihat kesebelasan utama yang diturunkan, seolah-olah beliau berani mengambil risiko terhadap percaturan yang dilakukan. Mungkin di atas kertas, formasi tidak berubah tetapi peranan beberapa pemain ada perbezaan sebagai contoh Nor Azam Azih dilihat bertindak lebih bertahan.

Sementara itu, posisi Syafiq Ahmad juga berbeza jika dibandingkan dalam 3 aksi terdahulu dalam kelayakan.

Kali ini, Syafiq digunakan sebagai No.9 dan walaupun tiada gol dari Syafiq, tetapi peranannya cukup besar membantu jentera serangan dan pada saya,percaturan ini, berjaya.

Seterusnya ucapan tahniah saya ialah kepada semua pemain pasukan Malaysia kerana berjaya menggalas tanggungjawab dengan baik serta menampilkan disiplin yang cukup tinggi. Malah setiap pemain mempunyai semangat juang yang tinggi terutamanya ketika ketinggalan seawal minit ke-7. \

Namun pemain berjaya bangkit dan lebih bermakna menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
Manakala tahniah yang ketiga saya berikan kepada semua penyokong yang hadir memenuhi stadium mahupun yang menonton di rumah menerusi saluran Astro Arena.

Sepertimana artikel terdahulu saya berkaitan pemain ke-12, nyata semangat penyokong cukup besar buat pemain dan ia adalah pendorong terhadap kemenangan pasukan negara.

Semakin kuat sorakan penonton di stadium, lebih-lebih lagi dari keluarga Ultras, semakin kuat semangat pemain di atas padang.

Kesimpulannya, setiap pihak ada peranan dan penyumbang kepada pasukan. Tetapi kita perlu segera lupakan kemenangan ini kerana perjalanan pasukan negara dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 masih lagi jauh.

Ya, kita perlu ambil perkara positif dalam perlawanan ini untuk di bawa dalam aksi berikutnya berdepan Indonesia dan keseluruhan 8 perlawanan peringkat kumpulan G.

Namun cabaran paling besar berdepan Indonesia ialah pasukan negara pastinya kehilangan Syafiq Ahmad dan Matthew Davies apabila dilayangkan Kad Kuning serta kemungkinan Syahmi Safari disebabkan kecederaan. Walau apa pun berlaku, lawan tetap lawan.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen