Tahniah Cikgu Futra

Oleh Azlan Mubin 10 August 2019 2082
Tahniah Cikgu Futra
Tanggal 27 Julai hingga 9 Ogos 2019 telah berlangsung Kejohanan Sepak Takraw Thailand Sports School edisi ke 22 di Khon Kaen,Thailand. Kejohanan itu adalah acara tahunan yang menghimpunkan pasukan-pasukan dari sekolah sukan di Thailand dan buat julung-julung kalinya beberapa pasukan sepak takraw dari sekolah sukan tanahair dijemput bagi memeriahkan kejohanan itu. 

Antara yang turut serta ialah Sekolah Sukan Kuala Lumpur, Sekolah Sukan Negeri Perak, Sekolah Sukan Negeri Johor, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT).

Apa yang menariknya, salah satu wakil dari Malaysia turut cemerlang membabitkan SSMT yang dibimbing bekas perejam negara, Mohd Futra Abd Ghani, dengan meraih dua pingat emas menerusi berpasukan B-14 dan regu B-16 manakala kategori beregu B-14  dan beregu berpasukan B-16 SSMT turut meraih pingat gangsa.

Mungkin kejayaan itu tidak sehebat pasukan bola sepak B-15 negara yang menjuarai Kejohanan AFF dengan menewaskan Thailand tetapi bagi sukan sepak takraw, kejayaan itu cukup besar nilainya terutama untuk perkembangan sepak takraw Negara.

Tahniah buat adik-adik yang telah membuktikan pemain Malaysia mempunyai jiwa besar sekaligus menundukkan Thailand.

Namun, di sebalik kejayaan manis itu, pastinya bukan mudah terutama pengorbanan seorang jurulatih.

Penulis sememangnya mengenali rapat Cikgu Futra ketika bersama-sama di dalam pasukan kebangsaan.

Beliau cukup dikenali dengan sikap positif, berani dan mempunyai aura ‘fighter’ ketika di dalam gelanggang.

Kini, aura Cikgu Futra, yang juga pemenang pingat emas acara regu Sukan SEA 2005, mula mengalir ke jiwa anak-anak buahnya. 

Apa yang dikongsikan Futra kepada penulis ialah ketika mula membimbing pasukan SSMT pada 2017, antara perkara utama yang diperbetulkan ialah sistem latihan, kejurulatihan dan disiplin para pemain.

Mungkin kita boleh lahirkan ramai bakat baru tetapi sejauh mana bakat ini mempunyai jiwa besar untuk negara satu hari nanti.

Ia juga antara fokus utama Cikgu Futra, yang mana setiap pemain disemai dengan penerapan awal jati diri untuk memahami objektif sebagai pemain sepak takraw, serta perlu berfikiran jauh sehingga peringkat tertinggi dan mahukan kejayaan terutama untuk Negara.

Setelah asasnya kukuh, ia disusuli dengan sistem latihan yang berterusan menjadikan anak-anak buahnya mula berkembang. 

Malah, apa yang difahamkan ialah sekurang-kurangnya 20 hingga 22 perlawanan setahun telah dirancang bagi memastikan pendedahan secara kompetetif dan prestasi pemain akan dinilai. Malah, semua ini perlu dipantau secara konsisten.

Tahniah sekali lagi Cikgu Futra dan Pasukan SSMT.

Bedasarkan kisah serba sedikit perjalanan cikgu Futra, penulis melihat kejayaan ini tidak terhasil tanpa sokongan padu semua pihak termasuklah pengurusan, serta pemain .

Tetapi perlu diingat, kejayaan ini bukanlah kemuncak tetapi ia adalah permulaan perjalanan yang jauh untuk mencipta kejayaan yang lebih besar.

Persoalan daripada penulis pula, jika kita mampu meraih kejayaan menundukkan jaguh Thailand di peringkat bawah umur, kenapa sukar dan jurang begitu ketara tatkala menjelang usia 18 tahun hingga peringkat senior? Nantikan kupasan penulis dalam artikel berikutnya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen