Tabik tuan presiden!

Oleh Bazly Azmi 21 April 2018 979
Tabik tuan presiden!
Bahang Pilihanraya Umum 2018 turut melanda persatuan sukan Malaysia.

Beberapa persatuan seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan memilih jawatankuasa baru untuk penggal berikutnya.

Namun, saya tertarik dengan sikap beberapa pegawai sukan yang makin matang atau lebih tepat 'gentleman' dalam proses perubahan pucuk pimpinan.

Bermula dengan pengumuman Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar yang menyahut seruan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dimana pegawai berusia 70 tahun ke atas perlu beri laluan kepada individu lebih muda mengambil alih.

Beliau baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 di ibu kota, bulan lalu.



Keputusan sama diambil Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How.
Bezanya, Ying How baru berusia 52 tahun.

"SRAM masih perlukan saya. Tapi jika saya terus mengetuai mereka, ia akan menutup peluang pegawai lain untuk naik pangkat.

"SRAM bukan syarikat yang menjana keuntungan, ia tempat pegawai mengumpul idea untuk bagaimana meningkatkan taraf skuasy di Malaysia. Jadi, saya perlu buka peluang kepada pegawai lain yang mungkin mempunyai idea tetapi perlaksanaannya terhad kerana saya ada di situ," katanya.
Saya kagum dengan cara Ying How berfikir.

Tidak hairanlah, rata-rata kakitangan SRAM mempunyai hubungan baik dengan arkitek yang mempunyai firma di Petaling Jaya itu.

"Saya percaya jika ketua bekerja keras, pegawai bawahan akan ikut serta tanpa diarah.  Saya turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan syarikat saya yang sanggup menghabiskan 1 jam setiap hari selepas waktu bekerja untuk bantu saya menguruskan SRAM," katanya.

Ramai pegawai sukan Malaysia yang sudah terlalu selesa di kerusi mereka.

Ada yang jadi presiden sejak dua dekad lalu. Malah, ada yang melantik anak sendiri pegang jawatan dalam persatuan.

Jika benar persatuan sukan bukan tempat menjana pendapatan, masakan ada yang sanggup bermusuh-musuhan malah mencaci-maki demi mendapatkan jawatan. Apa yang mereka kejarkan?

Terima kasih Tunku Imran dan Ying How atas jasa anda kepada sukan negara.

Teruskan menabur bakti dengan cara sendiri.

Teruskan bersukan kerana ia sudah wujud dalam DNA sejak anda dilahirkan!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen