Tabik Jijoe!

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 7 April 2018 1385
Tabik Jijoe!
Warga sukan tanahair pasti kecewa dan hampa apabila pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang gagal dalam misi memenangi pingat emas buat kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Apa tidaknya, peminat sudah pasti mengharapkan atlit yang diberi gelaran The Pocket Rocket Man itu mampu meraih kejayaan lebih manis untuk penampilan ketiganya di pentas Sukan Komanwel berbanding dua edisi terdahulu.

Ketika temasya di Glasgow pada 2014, Azizulhasni meraih gangsa dalam acara keirin dan ketika edisi 2010 di New Delhi, dia dinafikan pingat emas susulan penyertaannya dibatalkan ekoran kesalahan teknikal dan emas diberikan kepada rakan senegara, Josiah Ng.

Dalam saingan di Velodrom Anna Meares di Brisbane pada Jumaat, atlit kelahiran Dungun, Terengganu berusia 30 tahun itu tewas dalam saingan final acara kegemarannya itu selepas menduduki tempat keenam yang juga terakhir.

Ia menyaksikan pelumba tuan rumah Matt Glaetzer berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Glasgow tatkala pelumba Wales Oliva Lewis membuat kejutan memenangi pingat perak dalam perlumbaan penuh dramatik.

Kecewa memang kecewa, itu juga dirasai penulis yang menjadi saksi kepada kekalahan Azizul pada ketika ada penyokong negara hadir menyaksikan perlumbaan beliau termasuk isteri dan anak-anaknya.

Apatah lagi, Azizulhasni sebenarnya mahu memberikan hadiah hari lahir buat jurulatih John Beasley yang berusia 56 tahun pada Jumaat dan hajatnya itu tidak kesampaian.

Namun, apa yang boleh penulis katakan, Azizulhasni tetap wira negara kerana walaupun keadaannya kurang sempurna ekoran masalah kesihatan, dia masih mahu beraksi untuk mengharumkan nama negara.

Sehari sebelum acara keirin, Azizulhasni menarik diri daripada acara pecut berikutan masih bergelut dengan jangkitan virus yang dialaminya semasa Kejuaraan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda, awal bulan lepas.

Masalah yang dialami Azizulhasni sememangnya dapat dilihat berdasarkan gerak tubuhnya selepas beraksi dalam dua perlumbaan pertama yang menyaksikan beliau cemerlang melepasi halangan tanpa melalui saingan repechage.

Justeru, apa yang dilakukan Azizulhasni seharusnya menjadi contoh kepada atlit lain kerana walaupun dalam kesakitan, beliau tetap mahu membuktikan sesuatu kepada peminat terutama kepada jurulatihnya dan ahli keluarganya.

Jadi, kita seharusnya memberi tabik hormat kepada Azizuhasni walaupun dia terpaksa pulang hampa pada temasya kali ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen