Tabik hormat Roger Federer!

Oleh Yeoh Li Ying 30 January 2017 162
Tabik hormat Roger Federer!
Tahniah Roger Federer! Tahniah buat kejuaraan Grand Slam Ke-18! Arena Rod Laver di Melbourne, Australia menjadi saksi kepada pertembungan epik dua seteru terulung dunia, Roger Federer dan Rafael Nadal. 

Sebelum pertemuan ini, sudah 31 gelaran Grand Slam berjaya diraih kedua-dua pemain ini --  Federer 17 dan  Nadal 14.

Sambutan Tahun Baru Cina di kampung halaman tidak merencatkan perancangan saya untuk menonton perlawanan ini. Saya tahu ini satu aksi yang mesti ditonton walaupun terpaksa 'mencuri' masa daripada menziarahi saudara-mara. 

Ketika perlawanan sedang berlangsung, saya berada di rumah rakan karib yang saya kenali sejak dari sekolah rendah lagi. Sudah lama kami tidak berkumpul dan peluang untuk kami 'catch up' juga tidak harus saya lepaskan. 

Berbekalkan 'powerbank' dengan telefon bimbit, saya menonton melalui platform Astro-on-the-Go di samping sesi berbual bersama beberapa rakan karib saya.  

Mendebarkan!!!... Menang set pertama sebelum tewas set kedua dan seterusnya Federer menang set ketiga dan kemudian Nadal kembali merampas set keempat untuk kejuaraan ditentukan melalui set penentuan, iaitu set kelima. 

Tekanan semakin memuncak… Saya tidak senang duduk menonton perlawanan tersebut. Jauh di sudut hati saya, semestinya mahu kejuaraan milik Federer yang merupakan pemain kegemaran saya. 

Rakan saya bertanya kepada saya yang ketika itu baru sedar saya menonton perlawanan itu menerusi telefon bimbit! Mereka tahu saya seorang yang meminati sukan tenis dan akhirnya mengalah dan kami semua menonton set terakhir melalui kaca televisyen walaupun kawan-kawan saya bukanlah peminat tenis. 

Saya ibaratkan pertembungan itu seperti melihat aksi Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton untuk menarik minat mereka menonton set kelima yang mendebarkan bersama saya.

Luluh hati melihat Federer mengambil 'medical time out' dan kemudian terlepas game pertama di set kelima untuk Nadal mendahului 1-0. Nadal ketika itu dilihat cukup hebat dengan pukulan forehand yang mampu menggugat Federer yang kemudian ketinggalan 0-2. 
Ketika itu, saya berfikir mungkin ini sudah pengakhiran buat Federer, apatah lagi dia sudah mencecah usia 35 tahun! Mungkin sudah takdir dia tidak akan mencecah angka ke-18 Grand Slam.

Apa yang terhasil selepas itu cukup mengujakan! Bagaimana Federer bangkit mematahkan servis Nadal untuk mengikat kedudukan 3-3 sebelum mendahului 5-3. 

Dan penghormatan buat Federer untuk 'serving for the championship' dan drama game terakhir ini. Tidak mahu mengalah, Nadal mempamer persona ketika servis di tangan Federer.

Bagaimanapun, enggan lagi terlepas kejuaraan Grand Slam selepas kali terakhir menjulangnya dalam  kejohanan Wimbledon 2012, Federer memperkemas aksi sehingga 'match point' unik ditentukan menerusi cabaran 'Hawkeye'. 

Forehand Federer tepat di garisan tepi gelanggang kanan Nadal. Walaupun bola dikatakan 'out', Federer menggunakan sistem Hawkeye untuk mencabar keputusan tersebut. 

Hasilnya, beberapa saat mendebarkan, akhirnya sistem itu mengesahkan bola itu tidak keluar dan tangisan kegembiraan terpancar di wajah Roger Federer, dialah selayaknya dijulang pemenang Grand Slam buat kali kelima di Terbuka Australia dan keseluruhan Grand Slam ke-18 buat dirinya. 

Tahniah buat Federer! Anda sememangnya layak digelar pemain terhebat  sepanjang zaman.

Tabik hormat Roger Federer! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen