Syakilla tak serik digelar diva ​

Oleh 28 May 2019 259
Syakilla tak serik digelar diva ​
MAKAF, ketika ini, adakah mereka masih percaya dengan anda bahawa Syakilla seorang atlet yang boleh kita sandarkan harapan  walaupun Syakilla membelakangkan MAKAF, terus berjumpa dengan menteri, tidak mengadakan perbincangan dengan MAKAF untuk sebarang program latihan atau sebarang keputusan?

Syakilla: Dalam isu ini, saya nak betulkan saya tidak belakangkan MAKAF. Saya nak jumpa YB (Menteri), pun MAKAF tahu. Saya ada bersama dengan Datuk Shapawi, jadi MAKAF memang tahu. Jadi, kenapa MAKAF cuba mengatakan mereka tak tahu saya mahu bertemu YB?

MAKAF kecewa dengan apa yang anda lakukan, tidak mengadakan perbincangan dengan MAKAF, sebaliknya terus kepada Menteri Belia dan Sukan. Jadi, apa fungsi pegawai persatuan? Atau pegawai persatuan tidak ada fungsi dalam menentukan hala tuju atlet?

Syakilla: Sebelum Amsterdam lagi, MAKAF dah beritahu MSN selepas ini, kita tak nak masuk campur hal Syakilla.

Itu bukti MAKAF kecewa dengan anda. Anda bersetuju?

Syakilla: Saya tidak pasti tentang itu. Kalau persatuan kecewa, mereka boleh maklum kepada saya. Saya akan terima. Saya jenis seperti itu. Saya tidak boleh memaksa sesiapa untuk mempercayai saya.

Bukan saja MAKAF tapi ISN juga kecewa dengan anda. Kalau anda melihat laporan di Nadi Arena, CEO ISN dengan jelas menyatakan bahawa anda seorang atlet yang tidak memiliki komitmen yang tinggi dan tidak berdisiplin untuk mengikut program penurunan berat badan yang direka khas hanya untuk anda. Selepas MAKAF, anda kecewakan mereka, ISN pula perkara yang sama.

Syakilla: Saya tak faham kenapa ISN beritahu saya tidak berdisiplin, saya tidak ada komitmen untuk turunkan berat badan. Saya menjalani latihan mereka setiap hari. Sejurus berat badan turun, saya pula dimasukkan ke hospital.

Apabila anda mengatakan berat anda turun, ia sesuatu yang kontra kerana maklumat yang kami peroleh, anda tidak datang latihan untuk satu jumlah kedatangan yang agak tinggi. Di situ yang menyumbang kepada rasa tidak puas hati ISN kerana anda tidak menghormati apa yang mereka lakukan.

Syakilla: Masa itu saya dimasukkan ke hospital.

Bukan. Sebelum itu mereka memiliki satu rekod bahawa anda tidak datang berlatih atau mengikuti program yang anda lakukan sebelum anda sakit.

Syakilla: Saya tidak pasti. Saya menghadiri latihan setiap hari.

ISN menunjukkan bukti kepada kami (gagal hadir latihan selama lapan hari di antara 11 dan 30 April sebelum dimasukkan ke wad ekoran cirit-birit).

Syakilla: Yang itulah masalah sebab saya pun tak faham kenapa mereka datang dengan laporan macam tu.

Dalam tempoh beberapa minggu sebelum itu, sebelum 11 April, iaitu hari pertama anda melaporkan diri di ISN, anda sudah berada di Malaysia untuk satu tempoh yang lama, anda gagal dikesan. Itu sudah menunjukkan satu kemahuan, anda mahu atau tidak mengikuti program penurunan berat badan khas di ISN.

Syakilla: Lepas balik dari Amsterdam, sudah tentu saya tertekan sebab tak boleh beraksi. Pada waktu itu, saya nak ‘give up’. Sebab itu saya tak jawab sebarang panggilan, saya tak jumpa sesiapa. Saya cuma perlukan masa untuk pulihkan diri dan tampil semula. Selepas beberapa minggu, saya sambung semula dengan ISN, saya datang untuk semua latihan, kalau tak boleh pun saya ada maklumkan.

Bila anda mengatakan hanya MSN dan jurulatih cukup untuk anda, itu menunjukkan sikap seorang “diva”.  Adakah anda setuju mengenai perkara itu?

Syakilla: Tak.

Anda mengatakan bahawa anda tidak perlukan MAKAF, tidak perlukan ISN, di mana atlet-atlet di luar sana berebut-rebut mahukan bantuan seperti ini, bagaimana anda boleh mengatakan perkara itu sedangkan mereka sebelum ini membantu anda berada di tahap ketika ini?

Syakilla: Sekarang inipun tanpa ISN, saya boleh turunkan berat badan sebanyak 5kg seminggu.

Sikap seperti ini bukan satu sikap yang betul untuk seorang atlet negara. Nicol David, saya tak pernah mendengar masalah seperti ini. Datuk Lee Chong Wei pun tidak pernah dengan masalah seperti ini. Azizulhasni Awang juga begitu. Shalin Zulkifli juga begitu. Saya fikir anda perlu mengubah sikap anda.

Syakilla: Ini adalah karakter saya. Saya tak boleh mengubah karakter saya mengikut orang lain kerana semua manusia berbeza.

Betul tapi atlet perlu fleksibel untuk mengikuti rentak mereka-mereka yang membantu anda untuk layak ke Olimpik dan menang pingat.

Syakilla:  Saya akan ikut kalau program itu baik untuk saya. Jika program itu tidak sesuai buat saya, kenapa saya harus mengikutinya. Tiada sebab untuk mengikutinya.

Anda mengatakan apa yang anda lakukan ketika ini betul?

Syakilla:  Ya, sudah tentu.

Bagaimana anda terima dengan gelaran “diva”?  Ia datang daripada pegawai MAKAF sendiri.
Syakilla:  Perkara itu, saya tak boleh katakan…

Diva boleh hidup sendirian, diva tak perlukan siapa-siapa?

Syakilla:  Sudah tentu, saya boleh hidup sendiri. Saya sudah serah surat peletakan jawatan tiga kali, kenapa MSN tak nak terima?

Jadi, maksudnya anda terima panggilan itu (diva)?

Syakilla: Ya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen