Syakilla hanya utama kemahuan diri  

Oleh 28 May 2019 331
Syakilla hanya utama kemahuan diri  
Jika tidak ada pelan latihan yang bertepatan, maksudnya jurulatih sekarang, Ali Reza (Souleymani) tidak mempunyai pelan itu untuk anda?

Syakilla: Setiap jurulatih mempunyai kaedah latihan berlainan. Saya pernah berlatih di bawah Ali Reza selama tiga minggu. Cara dia melatih tidak sesuai buat kami selaku atlet tahap tertinggi yang berikhtiar ke arah kelayakan. Jadi, apabila kami buat latihan asas seperti atlet baru, ia mungkin sesuai untuk atlet junior. Tapi selaku atlet tahap tertinggi seperti saya, Prem, Sharmen, kita nak latihan tahap kompetitif, kita nak rakan berlatih, kita nak ‘sparring’, kita nak banyak pertandingan tapi ketika ini mereka masih berlatih di depan cermin, tiada rakan berlatih.

Kenapa semua atlet dalam pasukan kebangsaan boleh ikut Ali Reza, kenapa anda seorang saja yang tak boleh ikut?

Syakilla:  Saya di tahap yang berbeza. Saya sedang di tahap untuk memburu impian Olimpik yang sudah saya lalui hasil latihan tujuh tahun yang sesuai buat saya.

Bagaimana dengan Sharmendran dan yang lain-lain, mereka juga mempunyai impian ke Olimpik?

Syakilla:  Ya, sudah tentu. Mereka semua juga tidak puas hati dengan latihan tapi mereka tak berani nak suarakan.

Maksudnya anda menyuarakan suatu perasaan yang terpendam mewakili atlet kebangsaan di mana mereka tidak berani untuk menyuarakan perkara itu. Jadi, anda tunjukkan satu contoh?

Syakilla: Ya, anda boleh kata begitu.

Anda mewujudkan satu suasana pemberontakan dalam pasukan kebangsaan ketika ini.

Syakilla: Jika ia membawa sesuatu yang positif, saya sendiri akan meminta atlet junior mengikut saya kerana ini berkisar kepada karier kami. Saya perlu fikir latihan cara mana yang sesuai buat saya untuk ke Olimpik.

Kita lihat apa yang anda lakukan bersama Andris Vasiljevs. Sudah beberapa hari latihan anda di sekitar kawasan Bandar Sukan Kuala Lumpur. Adakah anda rasa program latihan seperti itu di landasan tepat untuk bawa anda ke Olimpik?

Syakilla: Untuk masa sekrarang, itu mungkin tak relevan berdekatan dengan ke Olimpik tapi saya dah terlepas setahun pertandingan, setahun program latihan, maka saya kena bermula perlahan-lahan. Program latihan sedang dipertingkatkan perlahan-lahan.

Sekarang berat berapa?

Syakilla:  63kg

Maksudnya anda sudah turun 5kg dalam tempoh lebih kurang seminggu. Jadi, anda tak percaya dengan pegawai ISN yang selama ini menjaga anda kerana mereka ditugaskan menurunkan berat anda. Tapi bersama Andris, anda menurunkan 5kg. Adakah program tak betul atau sikap anda sendiri yang tidak mengikut pelan program khas itu dengan sistematik?

Syakilla: Seperti saya cakap sebelum ini, saya hanya perlu latihan yang bertepatan. Dengan ISN, saya berlatih satu jam, maksimum dua jam sehari. Lagipun, intensiti tu tak relevan untuk saya.

Buang masa?

Syakilla: Bukan nak kata buang masa, mereka telah melakukan tugas mereka, cuma ia tidak sesuai buat saya. Saya akui saya tidak bagus dalam mengurus diri sendiri. Saya tak bagus dalam membuat laporan harian seperti tiap hari saya makan ini, makan ini…

Kalau anda mengatakan anda tidak bagus dalam hal menguruskan diri sendiri atau membuat laporan, katakan satu hari sesuatu berlaku kepada Andris, dia terpaksa pulang ke Latvia. Adakah anda akan kembali tidak berdisiplin, tidak mampu menguruskan diri sendiri atau berat badan anda akan naik seperti dulu?

Syakilla: Jika saya masih meneruskan karier saya, sudah tentu saya akan ke Latvia walaupun menggunakan duit sendiri. Pasti saya akan pergi, saya tidak akan tunggu sesiapa. Sebab saya tahu dengan siapa saya boleh turunkan berat badan, dengan siapa saya boleh percaya sepenuhnya.

Bagaimana dengan kedudukan anda sebagai atlet kebangsaan?

Syakilla: Sebelum ini pun, saya dah beri hampir tiga kali saya nak letak jawatan daripada pasukan kebangsaan…

Kita lihat sebelum ini, Amsterdam. Anda mencadangkan kepada MSN, MAKAF untuk berlatih di Amsterdam untuk satu program khas. Saya juga percaya ketika itu bahawa anda mampu melakukannya untuk menurunkan berat badan 55kg dan terus ke kelayakan Sukan Olimpik bagi mengumpul mata. Hanya sebulan saja program itu berlaku. Kenapa sebulan saja sedangkan ia membabitkan duit daripada MSN?

Syakilla: Maklumat yang saya peroleh dari Karate Amsterdam, adalah sama sekali berlainan daripada apa yang saya fikirkan.  Sebab saya terima maklumat setiap hari ada latihan. Lepas tu saya pergi sana, dari satu tempat untuk ke tempat latihan saja, saya perlu mengambil perjalanan hampir dua jam. Sebelah pagi, saya berlatih di gim. Satu perkara, ia seperti membazirkan masa, dan satu perkara lagi, latihannya tidak mencukupi buat saya.

Anda menyesal Amsterdam satu program yang gagal?

Syakilla: Ya, sudah tentu ia satu program yang gagal. Saya terima bahawa ia adalah kesilapan saya sebab saya tak bincang dengan jurulatih. Dalam pada itu, pilihan pertama ialah saya minta untuk ke Latvia. Mereka batalkannya, terpaksalah saya pergi ke pilihan kedua.

Berat badan ketika di Amsterdam naik mendadak. Ketika itu, dipersoalkan cara pemakanan anda, siapa yang mengawal pemakanan anda di sana, siapa yang memantau perkembangan anda setiap hari?

Syakilla: Ketika di sana, saya ada membuat kemas kini berat badan, makanan saya kepada pakar pemakanan. Saya siap hantar gambar kesemuanya. Tapi di sebalik mengawal pemakanan tapi jika tidak mempunyai latihan dan aktiviti yang tepat, berat badan tidak akan turun, sebaliknya ia akan kekal atau naik lagi. Itulah kesilapan yang saya buat.

Kesilapan itu juga memberi kesan kepada MAKAF. Adakah anda mengakui MAKAF juga terkesan dengan apa yang anda lakukan?

Syakilla: Saya akui ia kesilapan saya hingga MSN dan persatuan terpaksa menjawab kepada media dan orang ramai. Tapi bukan semua manusia adalah sempurna. Tapi sekarang saya sudah mula berlatih semula, kenapa mereka tidak berikan saya peluang untuk membuktikannya.

 (BERSAMBUNG)

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen