Syahir, Sobey didakwa ‘auta’ – Tok Mat dedah hal sebenar

Oleh Hishamuddin Aun 16 August 2019 18793
Syahir, Sobey didakwa ‘auta’ – Tok Mat dedah hal sebenar
Orang Penang kata, kalau tak sungguh, Tok Mat tak kata.

Lebih dua minggu selepas mengunci mulut – dengan alasan tidak mahu mengaibkan pemain -- Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, bukan sekadar menamatkan moratorium di pihaknya, malah sudah mula berkongsi apa yang terlindung daripada pandangan ramai.

Gara-gara teruk menerima kecaman netizen sejak pengguguran dua tekong ‘emas’ negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, daripada skuad kebangsaan pada 26 Jun lalu dengan alasan disiplin hingga maruah PSM teruk dihentam, Tok Mat memilih untuk tidak lagi berselindung.



“Kali pertama saya jawab sebab (ini) di Pulau Pinang. Sebenarnya saya tak patut jawab lagi ni,” katanya ketika sesi soal jawab dengan wartawan selepas majlis pelancaran Penang Black Panthers bersama penaja pasukan, DGZ Agency Sdn Bhd, di Penang Golf Resort, Kepala Batas, semalam.

Menyimpulkan isu berkaitan kedua-dua pemain itu yang disusuli pengguguran mereka – kemudian keputusan nekad mereka untuk bersara hingga turut mengundang campur tangan menteri – Tok Mat mempertahankan ia bukanlah isu pemotongan elaun seperti didakwa kedua-duanya.

Sebaliknya, ia semata-mata berkisar kepada masalah disiplin kedua-duanya – yang digelar Panjang dan Sobey – yang dianggapnya sudah “terlalu teruk” hingga diumpamakannya dengan ranting yang dimakan anai-anai.

Pada 2 Ogos lalu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa kecewa dengan tindakan PSM yang didakwanya tidak mengikut sistem pembayaran elaun latihan MSN sehingga dua tekong kebangsaan itu nekad bersara.

PSM, tegas Menteri Belia dan Sukan itu, sepatutnya mengikut cara pengurusan majoriti persatuan sukan kebangsaan di Malaysia, lantas badan induk itu tidak sepatutnya memotong elaun latihan kerana ia merupakan persetujuan di antara atlet dan MSN dalam kontrak Program Podium.

Tok Mat seterusnya mengulangi semalam: “Mereka digugurkan atas masalah disiplin… tiada keraguan mengenai itu. Masalah dia bukan soal elaun, (sebenarnya) banyak kisah dia.

“Walaupun peringkat awal saya lihat ‘dendangan’ oleh mereka ini ‘Oh tak mai raya dan tak pi raya rumah Tok Mat, kena gugur’.

“Tapi benda tu tak ‘makan’, last sekali depa try pulak main skim elaun.

“Skim elaun nampak ‘makan’, sekarang mereka perdendangkan lagu skim elaun untuk melindungi dan menutupi kes sebenarnya adalah disiplin – disiplin yang sudah dianggap teruk.

“Itu saja boleh saya kata, kalau saya nak buka, takut depa malulah.

"Memang disiplin, ‘terrible discipline’. Kita tak boleh nak terima dah,” jelasnya.

Tok Mat turut mempersoalkan kenapa Panjang dan Sobey, dua tekong emas negara dalam Sukan Asia 2018,  nak bercakap soal elaun mereka yang dipotong sedangkan elaun buat mereka dibayar PSM – mengikut tiga kategori berbeza, iaitu Cemerlang (RM4,000), Kepujian (RM3,500) dan Baik (RM2,000) sebulan -- sejak Januari lalu lagi.

“Kenapa tiba-tiba dah Jun, Julai baru you nak bercakap (soal elaun)?

“Itu bermakna ada sesuatu yang depa nak ‘camouflage’ (selindungkan).

“Nak tutup kelemahan disiplin, baru bawak keluar tu (soal elaun).

“Tapi tunggulah saya akan buat PC (sidang media) bila mereka telah diberi pertuduhan-pertuduhan.”



Kedua-duanya, bersama lapan pemain lain dalam skuad sepak takraw kebangsaan, dijadualkan menghadap Jawatankuasa Tatatertib PSM dalam masa terdekat ini.

“Cuma keadaan apabila (masa) raya tu, dia sebelum ni cuma ada 2-3 orang yang bagi masalah kepada kita.

“Tapi waktu raya tu orang tengok kalau asyik orang tu je, yang lain pun mula ambik kesempatanlah.

“Jadi, waktu raya sebenarnya 12 orang yang bagi masalah.

“Dan persoalan kita ialah 10 orang yang kena (kerana dua yang lain dimaafkan atas alasan munasabah), awat dua saja (Panjang dan Sobey) yang bising?

“Jadi, ia sebenarnya soal disiplin,” tegasnya lagi.



Diuar-uarkan juga sebelumnya bahawa Panjang dan Sobey memang ada tidak hadir latihan beberapa hari selepas Aidilfitri lalu tapi rasanya bukan itu punca utama mereka digugurkan.

Sebaliknya, kelantangan mereka menuntut elaun penuh di samping kedua-duanya saling membela dan mempertahankan satu sama lain, ditawarkan sumber dalaman sebagai “mencabar” PSM untuk mengambil suatu bentuk tindakan sebagai pengajaran kepada yang lain.

Kepada Syahir, Tok Mat turut berpesan: 

“Mintak maaf, kalau dia asyik menyanyi lagu skim-skim (elaun) ni, berhenti sat lah.

“Saya dok takut tuduhan (daripada Jawatankuasa Tatatertib PSM) terlampau banyak, bukan takat raya…”

(AKAN BERSAMBUNG LAGI)
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen