Suntikan moral di kem United

Oleh Burn Thevandran 19 September 2019 1508
Suntikan moral di kem United
Kem Manchester United yang masih lagi gagal beraksi baik secara konsisten menerima suntikan moral apabila salah seorang pemain utama mereka, David De Gea, membuat keputusan untuk menyambung kontrak sehingga 2023 dengan gaji GBP350,000 (RM1.8j) seminggu.

Secara tidak langsung, ini menjadikan De Gea sebagai pemain Manchester United dengan gaji termahal. Untuk rekod, De Gea berhijrah ke Old Trafford pada 2011 daripada Atletico Madrid dan telah beraksi lebih daripada 350 perlawanan bersama The Red Devils.

Perkembangan ini sudah tentu menaikkan moral rakan sepasukan lain memandangkan De Gea merupakan antara individu penting dalam skuad United. 

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer, turut gembira dengan situasi ini dan percaya, De Gea yang diangkat sebagai antara penjaga gol terbaik dunia akan memberi tambah nilai daripada segi pengalaman dan juga kepimpinan kepada skuadnya yang sedang dalam proses penambahbaikan.

Dalam pada itu, United akan mengharungi perlawanan pertama dalam saingan Piala Europa minggu ini dan di atas kertas, United dilihat tidak berdepan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan yang dihuni Astana, Partizan Belgrade dan AZ Alkmaar itu. 

Dengan berjaya menamatkan badi kekalahanapabila menang 1–0 ke atas Leicester City dalam saingan liga lalu, United dijangka menurunkan senarai pemain berbeza sempena perlawanan menentang Astana memandangkan beberapa pemain tonggak seperti Jesse Lingard, Anthony Martial dan Paul Pogba masih lagi dalam fasa pemulihan daripada kecederaan.

Selain United, dua lagi wakil England, Arsenal dan Wolverhampton juga akan mengharungi perlawanan pertama Piala Europa minggu ini. 

Finalis musim lalu, Arsenal, bakal berkunjung ke Eintracht Frankfurt manakala Wolves yang pertama kali bertanding akan berdepan wakil Portugal, Braga.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen