Sukar, tapi bukan mustahil Malaysia

Oleh Suzana Basri 15 August 2019 12678
Sukar, tapi bukan mustahil Malaysia
Berderau darah apabila Thailand berjaya memecah kebuntuan gol yang menyaksikan Malaysia tewas aksi terakhir kumpulan B dan lebih menggerunkan apabila kemaraan ke separuh akhir Piala AFF B18 Tahun selaku naib juara bakal menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney menentang Indonesia.

Ya, aura perseteruan itu tetap terasa.

Walaupun kita bercakap tentang pasukan muda.

Ketika pasukan negara jiran itu dilihat agak selesa memimpin kumpulan A apabila hanya menerima tentangan Myanmar, kekalahan Malaysia di tangan Thailand sudah pun dijangkakan kebanyakan media negara itu.

Paling hebat sudah pasti dari kalangan penulis blog dan laman web Indonesia antaranya bisnis.com yang meramalkan pasukan muda negara gajah putih itu akan tetap memberi kesukaran kepada Malaysia disebalik prestasi tidak memberangsangkan dengan terperosok didasar kumpulan.

Laporan itu turut memihak tuan rumah, Vietnam yang dilihat berpeluang lebih cerah untuk mengiringi Australia dari kumpulan B berdasarkan statistik pertemuan dengan Malaysia, sekali gus menekankan betapa Malaysia perlu menang aksi terakhir kumpulan atau ucap selamat tinggal sahaja kepada kempen di Ho Chi Minh ini.

Tetapi itu orang luar.

Kita boleh ketepikan apa sahaja tanggapan dan kepercayaan mereka.

Apa yang lebih penting adalah hasil yang dapat dituai.

Lihatlah, Malaysia yang ke separuh akhir dan meninggalkan Vietnam dengan 1001 kekesalan dihadapan penyokong sendiri apabila tumpas di tangan Kemboja yang tidak disangka-sangka menjadi pasukan yang liat untuk ditumbangkan.

Namun apa yang menyedihkan adalah peminat bola sepak Malaysia yang lebih berminat dalam perbalahan tentang siapa yang harus diberi kredit dari aksi menyerlah skuad bawah 18 tahun negara terutamanya setelah menumpaskan Australia.

Tidak dilupakan juga kejayaan pasukan bawah 15 tahun negara yang dipimpin P. Maniam di kejohanan AFF baru-baru ini.

Mungkin juga bukan salah para penyokong yang mempromosikan hashtag #doneclaim atau #saveLTK apabila mereka yang beriya-iya mengetengahkan isu ini adalah individu-individu yang mempunyai kepentingan daripadanya.

Tetapi lebih molek rasanya jika kita tumpukan perhatian kepada perjuangan Maloney dan anak-anak buahnya yang semakin sukar selepas ini.

Biar sampai Malaysia bertemu Australia sekali lagi di final nanti agar pasukan yang diturunkan Gary Rudy itu adalah barisan terbaiknya dan menutup mulut-mulut nakal yang sentiasa melontarkan kata-kata negatif.

Biar sukar untuk mengekalkan kejuaraan tahun lalu, asalkan pemain-pemain muda negara mendapat manfaat yang mampu terpakai untuk satu tempoh masa panjang dan bukan sekadar gah dengan keraian satu piala sahaja.

Selamat berjuang Brad Maloney dan skuad bawah 18 tahun negara!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen