Sukan menembak perlu bangkit! 

Oleh Nur Amira Ibrahim 8 June 2018 770
Sukan menembak perlu bangkit! 
Ini merupakan kali pertama skuad menembak negara beraksi dalam Sukan Asia dengan peruntukan bajet sendiri daripada persatuan apabila berada dalam kategori B. 

Ini membuktikan sukan menembak tidak lagi berada di tahap yang memuaskan apabila mereka tidak disenaraikan dalam kategori A dan dilihat tipis untuk menyumbang pingat buat negara. 

Penembak berpengalaman negara, Nur Suryani Mohamed Taibi, yang tidak pernah gagal meraih pingat sejak Sukan Asia 2010 Guangzhou menganggap ia cabaran buat atlet untuk berusaha keras bagi membuktikan sukan ini sebenarnya masih mampu untuk buktikan sesuatu. 

Apa yang penting ketika ini, peranan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) untuk memastikan peruntukan mereka cukup bagi menampung 10 atlet ke Jakarta. 

Bagi Suryani dan penembak yang lain, mereka hanyalah atlet yang hanya menjalankan tugas untuk beraksi dan keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan sukan ini di kategori B harus dilihat daripada sudut positif. 

Benar, ada persatuan yang dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan MOM yang meletakkan atlit mereka di kategori B apatah lagi ada persatuan yang tidak mempunyai bajet mencukupi.

Namun, sekurang-kurangnya ini akan membuka mata persatuan itu sendiri untuk berusaha membantu atlit mereka dan tidak lagi “tidur” mengharapkan keajaiban sahaja berlaku. 

Ayuh bangkit penembak negara! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen