Sukan Komanwel XXI -- mengejar sasaran pingat 

Oleh Lukman Salleh 30 March 2018 1652
Sukan Komanwel XXI -- mengejar sasaran pingat 
Sasaran pingat Sukan Komanwel Gold Coast yang sebelum ini begitu sukar untuk diumumkan, akhirnya bukan rahsia lagi apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan matlamat barisan Harimau Malaysia ialah memperbaiki pungutan enam pingat emas empat tahun lalu di Glasgow. 

Justeru, kontinjen negara perlu raih sekurang-kurangnya tujuh pingat emas serta menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dalam pungutan pingat keseluruhan apabila temasya  ini berakhir 15 April nanti.

Bagi saya, sasaran tujuh emas ini memang sudah dijangkakan kerana saya pasti tidak mungkin sasaran di Sukan Komanwel perlu kurang daripada apa yang dicapai di Glasgow. Ia pasti tidak masuk akal. Sasaran mestilah sentiasa mengatasi apa yang dicapai pada temasya sebelum ini bagi menunjukkan bahawa prestasi atlit dan sukan kita sudah berkembang. Jika kita letak sasaran rendah berbanding Glasgow, ia bermaksud kita terkebelakang.

Hakikatnya tumpuan kali ini sudah pasti kepada atlit podium serta program podium itu sendiri. Dilancarkan pada 2015 dan dengan bajet yang begitu besar, sudah tentu kita mahu lihat pulangan yang besar juga. Dua atau tiga pingat emas, andai itu yang dibawa pulang dari Glasgow tidak memadai.
Selain itu dengan kejayaan dalam temasya sukan terakhir bertemasya tinggi iaitu Sukan Olimpik Rio 2016 dimana kita bawa pulang empat perak dan satu gangsa (pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan di Sukan Olimpik), serta kejayaan luar biasa di Sukan Sea 2017 dengan sejumlah 145 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan, maka Gold Coast menjadi satu lagi ujian bagi meneruskan rentak kecemerlangan itu.

Jika diambil kira pencapaian di Rio 2016 serta Kuala Lumpur 2017, maka secara logiknya bagi peminat sukan tanahair sudah pasti menjangkakan graf pencapaian atlit terus meningkat di Gold Coast. Sudah pasti mereka akan berasa optimis. Jika dilihat pada barisan atlit yang tampil, Malaysia masih menurunkan yang terbaik.

Kita ada juara terjun dunia, Cheong Jun Hoong, juara keirin dunia Azizulhasni Awang, barisan pemain badminton yang raih pingat perak di Sukan Olimpik diketuai Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem / Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon /Goh Liu Ying, ratu skuasy Datuk Nicol David serta, Johnathan Wong (juara menembak Asia). Ini hanya sebahagian atlit yang membarisi kontinjen negara. Ada lagi juara peringkat serantau seperti dalam sukan boling padang dalam skuad kontinjen Malaysia.

Seperti Sukan Komanwel lalu, kita masih harapkan badminton akan menjadi tuaian emas. Andai sukan ini dapat menyumbangkan tiga emas seperti yang disasarkan serta terjun mampu melakukan kejutan dengan mencuri dua emas, sasaran itu mampu dicapai dengan sukan lain seperti boling padang, skuasy, angkat berat, gimnastik turut memainkan peranan yang diharapkan.

Dengan berita beberapa atlit utama negara mengalami kecederaan serta kurang sihat dan cergas untuk beraksi di temasya ini, saya harap ia tidak akan dijadikan alasan seandainya Malaysia gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Kepada kontinjen Malaysia Selamat Berjuang. Semoga capai kejayaan cemerlang di Gold Coast nanti. Majulah Sukan Untuk Malaysia!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen