Sukan Komanwel 2018: Malaysia kembali ke realiti

Oleh Lukman Salleh 16 April 2018 6595
Sukan Komanwel 2018: Malaysia kembali ke realiti
Sukan Komanwel XXI di Gold Coast melabuhkan tirainya dengan kontinjen Malaysia menduduki tangga ke-12 dengan sejumlah 7 pingat emas, 5 perak dan 12 gangsa bagi sejumlah 24 pingat yang dibawa pulang.

Daripada 177 atlit negara yang bertanding di Gold Coast, 28 atlit negara merangkumi acara individu & berpasukan membawa pulang pingat. Secara kasar, kira-kira 15 peratus pingat diraih kontinjen negara.

Dua sasaran yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan iaitu mengatasi pencapaian 6 pingat emas 4 tahun lalu di Glasgow berjaya dicapai tetapi objektif kedua 10 tempat teratas pungutan gagal dicapai.

Sasaran kedua ini adalah sasaran utama Program Podium yang diperuntukkan 145 juta ringgit pada Bajet 2016 dan 2017. Sudah pasti kegagalan mencapai matlamat yang sudah secara terang-terangan dinyatakan, akan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keberkesanan Program Podium yang diletakkan dibawah kawalan Institut Sukan Negara (ISN).

Sebelum kontinjen negara berangkat ke Gold Coast, saya ada menulis artikel di mana saya menyatakan bahawa prestasi atlit dalam Program Podium akan menjadi tumpuan berdasarkan kepada jumlah pelaburan yang tinggi kepada mereka. Dan ramalan saya benar.Tidak dinafikan ada atlit podium berjaya tetapi jumlahnya mungkin kecil jika dibandingkan yang gagal terutama nama-nama besar yang menjadi sandaran.

Antaranya, Irfan Shamsuddin, Hakimi Ismail, Johnathan Wong, Welson Sim, Fatehah Mustapa, Azizulhasni Awang, Datuk Nicol David. Antara mereka gagal menyumbang sebarang pingat, gagal memperbaiki rekod kebangsaan serta ada yang langsung tidak ada catatan.

Benar, kontinjen negara di Gold Coast menang tujuh pingat emas dan keseluruhan 24 pingat mengatasi Glasgow dengan enam pingat emas dan keseluruhan 19 pingat keseluruhan, tetapi kegagalan beberapa atlit podium serta juara dunia negara membangkitkan persoalan apa sudah jadi dengan kejayaan yang dicipta di Olimpik 2016 serta Sukan Sea 2017. Graf sukan negara sepatutnya menaik bukannya mendatar atau menurun.

ISN atau pihak podium pasti akan tampil dengan pelbagai data dan statistik bagi mempertahankan bahawa atlit negara mempamerkan aksi yang baik di Sukan Komanwel, tetapi bagi saya sebagai peminat sukan serta pembayar cukai yang secara tidak langsung turut menyumbang kepada program podium, apa yang mahu dilihat  ialah ‘end product”, iaitu kilau pingat terutama sekali pingat emas bersesuaian dengan nilai pelaburan besar.

Saya pasti pihak-pihak bertanggungjawab akan menilai semula keberkesanan program podium ini sebelum Malaysia menyertai satu lagi temasya sukan yang lebih tinggi tahapnya iaitu Sukan Asia di Jakarta, Ogos depan.

Saya juga ingin menyentuh mengenai badminton yang  gagal mencapai 3 pingat emas yang disasarkan. Sekadar dua pingat emas berbanding tiga yang dimenangi di Glasgow 2014 dan terpaksa mengharapkan kepada Datuk Lee Chong Wei sekali lagi untuk menyelamatkan pasukan negara.

Persoalan yang ingin saya ajukan ialah kenapa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya menyenaraikan 10 pemain (lima lelaki / lima wanita) untuk pasukan badminton. Ini menyaksikan Malaysia tidak ada pemain kedua dalam perseorangan lelaki, beregu lelaki dan wanita serta perseorangan wanita. Sebaliknya meletakkan gandingan bidan terjun semata-mata untuk mencukupi undian pemain yang akhirnya membawa kepada kegagalan pasukan yang terpaksa bermain banyak kali seperti Goh Soon Huat, Shevon Lai, Soniia Cheah serta Chan Peng Soon.

Adakah BAM serta jawatankuasa pemilihan MOM terlalu yakin boleh menang 3 emas dengan jumlah pemain yang kecil ini. Jika disebabkan kouta atlit, maka sepatutnya kouta untuk jurulatih serta atlit dari cabang sukan lain dikurangkan kerana diketahui bahawa badminton adalah lubuk emas negara.
Sebaga contoh, basikal mempunyai atlit paling ramai bertanding iaitu 14 sama banyak dengan olahraga, namun tidak menyumbangkan sebarang pingat. 28  atlit daripada dua sukan ini tetapi hasilnya mengecewakan. 

Nasib baik keyakinan tinggi BAM serta MOM terhadap 10 atlit badminton tidak memerangkap diri mereka sendiri dengan badminton berjaya juga menyumbangkan 2 emas, 1 perak dan dua gangsa.
Bagi saya pada masa akan datang jawatankuasa pemilihan MOM perlu lebih tegas dalam menentukan standard kelayakan. Jika ada atlit yang layak tetap tidak memenuhi kriteria yang lain seperti mampu meraih pingat atau berkeupayaan ke final, tidak perlu dipertimbangkan.

Saya pasti bedah siasat akan dilakukan pihak-pihak bertanggungjawab mengenai prestasi atlit, jurulatih serta pegawai-pegawai sukan Malaysia di Sukan Komanwel. Buat ketika ini kita perlu menelan kepahitan kita masih belum cukup bagus di peringkat antarabangsa. Banyak penambahbaikan perlu segera dilakukan.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen