Sukan Asia: Bukan tempat timba pengalaman 

Oleh Lukman Salleh 6 June 2018 591
Sukan Asia: Bukan tempat timba pengalaman 
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah melakukan pemilihan atlit untuk ke Sukan Asia 2018 di Jakarta / Palembang. Kali ini tampak syarat pemilihan lebih ketat dengan jawatankuasa pemilihan MOM serta Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan tahap kelayakan ialah catatan tempat keempat temasya lalu atau ranking tempat keempat di Asia untuk dipertimbangkan ke 

Pada pendapat saya, ia keputusan tepat kerana Sukan Asia bukan medan untuk memberikan pendedahan atau menimba pengalaman buat atlit sebaliknya untuk kecemerlangan serta mencapai kejayaan. Sukan Asia juga tidak harus dijadikan temasya menguji atlit atau membawa atlit yang tidak layak semata-mata untuk menambah jumlah atlit negara yang bertanding. Cukup dengan jumlah yang kecil tetapi penuh berkualiti serta mampu memberikan pulangan yang besar kepada pelaburan negara.

Ada beberapa keputusan mengejutkan dalam pemilihan kali ini termasuk tindakan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggugurkan ratu trek berbasikal, Fatehah Mustafa daripada Sukan Asia. Ia keputusan yang berani... mungkin kerana prestasi hambar pelumba itu ketika ini. Apakah pengguguran ini memberi maksud berakhir karier Fatehah dalam sukan berbasikal negara?

Saya juga berpendapat sudah tiba masanya Majlis Olimpik Asia (OCA) menetapkan syarat kelayakan untuk sukan yang boleh diukur serta juga kouta penyertaan untuk sukan berpasukan. Ini seperti yang dilakukan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menetapkan jumlah dan kouta atlit untuk Sukan Olimpik, dengan persekutuan sukan antarabangsa menetapkan syarat kelayakan. Sebagai contoh olahraga, dan renang yang mempunyai syarat kelayakan. Manakala sukan lain seperti sukan berpasukan perlu melalui proses kelayakan. Mungkin ini satu pembaharuan yang perlu dilakukan OCA bagi memastikan temasya ini benar-benar relevan dan hanya atlit berkualiti Asia bertanding bagi memastikan tahap temasya ini dapat dipertingkatkan.

Dengan kos penganjuran yang makin tinggi, maka adalah penting untuk memastikan Sukan Asia tidak menjadi temasya 'syok sendiri' dalam kalangan negara anggota, sebaliknya temasya yang mampu meningkatkan martabat sukan rantau ini.

Begitu juga dengan negara kita. Perlu ada syarat kelayakan yang jelas dan kualiti menjadi keutamaan. Sekiranya atlit mahu bertanding di Sukan Asia, mereka perlulah melakukannya secara merit and "earned their rights' untuk bersama kontinjen negara ke Palembang / Jakarta dan bukannya menagih simpati.

Perkara yang sama juga buat persatuan sukan kebangsaan. Mereka perlu lebih berani untuk buat keputusan dan mencabar atlit masing-masing untuk meningkatkan keupayaan masing-masing jika mahu beraksi di pentas lebih tinggi.

Kita sudah gagal capai sasaran di Sukan Komanwel lalu, janganlah pula Sukan Asia turut mengalami nasib yang sama.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen