Suka dalam duka buat Negeri Sembilan Antlers

Oleh Azlan Mubin 11 September 2019 5378
Suka dalam duka buat Negeri Sembilan Antlers
Saingan STL musim keenam telah membuka tirai dengan jayanya pada 6 September 2019 lalu. Bagi peminat setia STL pastinya pelbagai reaksi dilontarkan setelah berakhir minggu pertama. 

Namun, nukilan saya kali ini ialah mengenai bekas Juara Liga Divison 1 musim lalu, Negeri Sembilan Antlers.

Musim ini, perjuangan Pasukan Negeri Sembilan ketika pembuka tirai berakhir dengan langkah kiri apabila tewas kepada Juara Bertahan, Penang Black Panthers. 

Namun, mereka kembali tersenyum apabila bangkit mencipta kemenangan menewaskan Sabah Mountaineers straight set 21-19 dan 21-15 pada Sabtu.

Dalam masa sama, saya juga ingin kongsikan kisah jurulatih utama pasukan Negeri Sembilan Antlers iaitu Md Isa bin Sidek.

Pengendali berusia 48 tahun ini lebih dikenali sebagai Cikgu Isa dan sememangnya tidak asing di pentas sepak takraw. Malah, dia yang merupakan seorang pendidik yang kini bertugas di SK Taman Tasik Jaya, Seremban dan individu yang jujur serta cintakan sepak takraw. 

Ini kerana, selain tugas hakikinya sebagai seorang guru mendidik anak bangsa dalam akademik, Cikgu Isa mempunyai naluri cukup kuat untuk melahirkan bakat-bakat muda. Apa yang dilakukannya ketika waktu lapang di sekolah, beliau sanggup memberikan peluang dan melatih pelajarnya dengan kemahiran asas sepak takraw kepada yang ingin mencuba tanpa mengira waktu.

Bermula daripada kemahiran asas dan secara berperingkat, dia akan menilai dan mendidik pelajar tersebut menjadi seorang pemain sepak takraw. Secara tidak langsung, pelajar yang daripada awalnya sekadar hanya ingin mencuba, kini mula minat terhadap sukan ini dan ia memudahkan proses melatih pemain-pemain ke tahap lebih tinggi.

Kerja sukarela itu berbaloi apabila kebanyakan anak-anak didiknya mula mewakili negeri sehingga diserap ke skuad utama negara, antaranya ialah Khairol Zaman Akhbar dan Syazreenqamar bin Salehan.

Namun, di sebalik cerita mengenai kesungguhan Cikgu Isa, pastinya seluruh peminat sepak takraw tidak menyedari bahawa kesihatan Cikgu Isa tidaklah berada pada tahap terbaik.

Kisah ini bukanlah untuk Cikgu Isa bersedih tatkala membacanya tetapi saya ingin kongsikan ‘semangat luar biasa cikgu’  yang membuatkan jutaan penonton STL yang menyaksikan di saluran Astro Arena tidak menyedari hal ini.

Apa yang berlaku pada awalnya ialah pada Jun lalu iaitu ketika bulan Syawal, yang mana Cikgu Isa demam, batuk dan ia berlanjutan tidak seperti demam biasa.

Apabila dia mendapatkan rawatan di klinik, reaksi daripada doktor kurang memuaskan mengenai kesihatannya dan dia perlu membuat pemeriksaan lanjut di Hospital KPJ Seremban.

Apa yang mengejutkan ialah pada awalnya, laporan doktor seolah-olah sesuatu petanda kurang baik di paru-parunya atau erti kata lain, suspek kanser paru-paru dan rawatan lanjut di Hospital Serdang perlu dilakukan.

Setelah pemeriksaan lanjut, pakar mengesahkan bahawa bukan kanser tetapi ada ketumbuhan di paru-paru dan ia perlu dibuang agar tidak merebak ke jantung.

Pendekkan cerita, maklumat yang saya terima daripada Presiden Sepak Takraw Negeri Sembilan, Wan Mohd Husni Abdullah, pembedahan akan dilakukan pada Rabu, hari ini tetapi ditangguhkan ke tarikh lain kerana doktor mahu memantau kesihatannya bagi melihat kesan daripada pengambilan ubatan tradisional sebelum ini.

Berbalik kepada kesungguhan dan semangat yang dia tunjukkan, tatkala STL 2019 menjelang tiba, Cikgu Isa sentiasa menunjukkan komitmen tinggi terhadap persiapan pasukan dan mahukan prestasi yang konsisten sepanjang liga musim ini.

Malah ketika saya bertemu di Stadium MABA dalam saingan minggu pertama, dia tetap sama iaitu seorang yang ceria, positif dan fokus terhadap pasukannya.

Dia tidak menunjukkan reaksi negatif kepada umum serta anak-anak buahnya dan semangat itu, mahal nilainya.

Oleh itu, saya menyeru semua pemain, peminat dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan urusan pembedahan Cikgu Isa dipermudahkan dan semoga kesihatannya segera kembali pulih sepenuhnya agar dia dapat kembali mengemudi Negeri Sembilan Antlers dan terus berjuang mendidik anak bangsa serta melahirkan lebih ramai bakat baru dalam sukan sepak takraw.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen