Strategi Pahang menjadi

Oleh Hasnizam Uzir 23 April 2018 10946
Strategi Pahang menjadi
Kekalahan Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang keramat mereka sendiri ketika bertemu Pahang dalam saingan suku akhir kedua meleburkan rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri sejak 2015. Tiga tahun JDT berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah itu namun atas faktor kesilapan penyusunan strategik dan taktikal memyebabkan mereka dimalukan Pahang dengan jaringan yang besar iaitu 3-0 dan dengan kemenangan itu mengesahkan Pahang ke peringkat separuh akhir Piala FA 2018 dengan aggregat 3-0.

Kekecewaan jelas terpancar di raut wajah pemain-pemain dan pasukan kejurulatihan serta peminat-peminat setia JDT apabila pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali meniupkan wisel panjang tandanya tamat perlawanan. Ini satu pengajaran dan pengalaman yang  berguna kepada ketua jurulatih JDT, Raul Longhi dan pemain-pemain JDT sendiri apabila bermain didalam keadaan padang yang agak becak dan sukar untuk bola bergolek dengan lancar sebagaimana yang diharapkan oleh pasukan JDT. 

Sebagaimana yang semua ketahui, JDT menerapkan falsafah bola sepak mereka sendiri dengan memulakan serangan secara berperingkat-peringkat serta mengunakan hantaran-hantaran pendek serta pergerak pemain-pemain bertukar-tukar posisi untuk mengelirukan pihak lawan. Namun pada malam itu apa yang dirancang oleh JDT tidak menjadi kerana disebabkan hujan yang begitu lebat turun pada sebelah petang sebelum perlawanan bermula ini menyebabkan air bertakung di atas padang.

Pemain-pemain JDT seperti hilang arah untuk melakukan serangan tetapi tidak bagi Pahang di mana jurulatihnya Dollah Salleh bijak mengunakan kesempatan itu dengan mengarahkan pemain-pemainnya mematikan gerakan JDT dibahagian tengah terutamanya pemain-pemain tengah JDT iaitu Hariss Harun, Ignacio Insa dan Nadzmi Faiz Mansur daripada melakukan hantaran-hantaran kehadapan mencari Safawi Rasid dan Ahmad Hazwan Bakri. 

Sebaliknya pemain-pemain Pahang bijak dalam mematikan gerakan JDT dengan memberi tekanan awal untuk memenangi bola di bahagian serangan sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Kogileswaran dan Patrick Dos Santos Cruz dan akhirnya gandingan ini berjaya memberi masalah kepada pertahanan JDT sehingga Cruz berjaya melakukan hatrik pada malam itu.

Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain Pahang yang bijak dan cerdik bermain dalam hujan apabila melakukan hantaran-hantaran jauh di belakang pemain-pemain pertahanan JDT untuk memberi ruang kepada Kogi dan Cruz membuka larian pantas mereka tetapi tidak kepada pemain-pemain JDT dimana mereka cuba mengekalkan corak permainan secara serangan berperingkat-peringkat dan akhirnya memakan diri.

Di sinilah pemain-pemain perlu menggunakan akal mereka untuk merubah corak permainan dalam keadaan terdesak di mana tidak perlu mengikut perancangan yang dibuat oleh jurulatih disebabkan faktor cuaca yang berubah pada masa perlawanan. Ini juga satu pengajaran kepada jurulatih JDT Raul Longhi supaya lebih peka terhadap cuaca di Malaysia dan tidak hanya berfikir bahawa permukaan padang Stadium Larkin sentiasa baik.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen