Stadium Al Janoub beri pengalaman unik

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 18 May 2019 2066
Stadium Al Janoub beri pengalaman unik
Penulis antara rakyat Malaysia yang bertuah apabila berpeluang untuk menyaksikan acara pembukaan rasmi Stadium Al Janoub sebagai salah satu daripada lapan venue Piala Dunia 2022 di Qatar.

Dirasmikan oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, acara pembukaan stadium baru itu berlangsung dengan penuh gilang-gemilang dan dimeriahkan dengan aksi final Piala Emir 2019 di antara Al Sadd dan Al Duhail.

Acara bersejarah itu turut dihadiri Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infatino, dan bekas pemain ternama dunia seperti Cafu, Roberto Carlos, Fernando Hierro, Samuel Eto'o, Pablo Zabaleta dan ramai lagi.



Stadium yang mempunyai kapasiti 40,000 penonton itu bukan sahaja cantik, malah canggih dengan teknologi penyejuk di mana ia memberi pengalaman unik kepada penulis.

Anda bayangkan, cuaca di luar stadium panas dengan suhu sekitar 40 darjah celcius tetapi masuk sahaja ke dalam stadium, suhunya adalah 20 darjah celcius sekali gus memberi keselesaan kepada penonton untuk menyaksikan perlawanan.

Dr. Saud Abdul-Aziz Abdul-Ghani, seorang profesor kejuteraan di Universiti Qatar, merupakan individu penting di sebalik teknologi penyejuk untuk semua venue Piala Dunia Qatar 2022.

Kehadiran teknologi moden ini adalah jawapan tuan rumah kepada pengkritik terhadap kemampuan mereka untuk menganjurkan acara bola sepak terbesar di dunia itu dalam iklim panas.

Stadium bernilai AS$575 juta (RM2.3 bilion) itu direka oleh arkitek wanita tersohor kelahiran Iraq, Zaha Hadid, ia dibina di pinggir laut di selatan Bandaraya Doha. 

Rekaannya mirip bot tradisional nelayan Qatar yang dikenali ‘dhow’ dengan bumbungnya menggunakan 1,400 bahan khas berkilauan seperti mutiara dibawa dari Itali.



Bekas pemain antarabangssa Belanda, Ruud Gullit, yang hadir sebagai tetamu memujinya dan menganggap stadium itu sebuah binaan yang cantik manakala bekas bintang bola sepak Sepanyol, Fernando Hierro, pula kagum dengan kemajuan negara itu setelah beraksi dalam Liga Qatar pada musim 2003 dan 2004 bersama kelab Al-Rayyan.

Untuk rekod, Piala Dunia kembali ke benua Asia menerusi penganjuran Qatar 2022 selepas Jepun dan Korea Selatan muncul selaku tuan rumah bersama pada 2002 dan menariknya, ia kali pertama bakal dianjurkan di Timur Tengah dan Qatar muncul negara paling kecil daripada segi geografi untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan terulung itu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen