SMS: Ia tidak akan semurah pesanan ringkas

Oleh Asmawi Bakiri 24 February 2018 1353
SMS: Ia tidak akan semurah pesanan ringkas
Andai gabungan bakat sensasi terbaru Eropah, Sergej Milinkovic-Savic (SMS), sukar untuk diperbandingkan dengan sesiapa, akhbar-akhbar Itali tidak lokek dengan pujian.
 
"Lotito (pemilik dan presiden Lazio, Claudio Lotito) ada Pogba miliknya sendiri," demikian dicanang akhbar La Republica, bulan lalu.
 
Bekas pemain antarabangsa Serbia, Nemanja Vidic, percaya rakan senegaranya itu memiliki segala bakat dan keupayaan yang mampu melonjakkan nilainya kepada €100 juta (RM482 juta) dalam tempoh tidak terlalu lama dari sekarang.
 
Milinkovic-Savic dikhabarkan menarik minat Manchester United – kelab yang dibintangi Vidic pada 2006-2014 – di samping Paris Saint-Germain (PSG) selepas kecemerlangan yang dipamerkannya di barisan tengah bersama Lazio musim ini.
 
Tidak cukup dengan itu, Vidic turut percaya setiap sen yang dilaburkan ke atas SMS akan berbaloi dalam tempoh segera.
 
“Saya fikir dengan harga pasaran pemain ketika ini, €100 juta adalah jumlah yang besar,” kata bekas bek tengah itu yang tampil 56 kali untuk pasukan kebangsaan Serbia dari 2002 hingga 2011. “Tapi itulah nilai pasaran sekarang.
 
“Dia masih muda dan mempunyai potensi untuk terus meningkat. Pada ketika ini pun, dia seorang pemain yang amat bernilai di Itali.
 
“Saya bukan boleh menetapkan harga pasaran tapi jika anda tanya saya jika dia seorang pemain berkualiti, sudah tentu.
 
“Adakah dia mempunyai ruang untuk menjadi bertambah baik? Jawapan saya, ya.
 
“Dia mempunyai tanda harga. Adakah ia €100 juta? Saya tidak tahu tentang itu,” katanya lagi.
 
Milinkovic-Savic telah menyerlah bersama skuad Biancocelesti itu sejak menyertai mereka pada harga hanya €4 juta (RM20 juta) daripada Genk pada 2015 sesudah menyumbat 20 gol dalam 101 penampilan untuk kelab Belgium itu.
 
Di sebalik persembahannya yang meyakinkan, namun pertikaiannya dengan ketua jurulatih Serbia ketika itu, Slavoljub Muslin, menyaksikan dia tersisih daripada pusingan kelayakan ke Piala Dunia Russia 2018.
 
Jurulatih kebangsaan terbaru, Mladen Krstajic, segera memanggilnya semula untuk perlawanan persahabatan menentang China dan Korea Selatan, November lalu.
 
“Dia tidak bermain dalam perlawanan kelayakan tapi hampir pasti terpilih untuk ke Piala Dunia setelah berlaku pertukaran jurulatih. Saya fikir dia akan menjadi penting untuk pasukan di sebalik memiliki ramai pemain utama yang lain.
 
“Saya fikir dia sangat berbakat dan mempunyai ruang untuk terus meningkat. Saya gembira kami memiliki pemain seperti ini yang berupaya membuat jaringan dan mencipta peluang.
 
“Dia akan menjadi tambahan yang hebat kepada pasukan yang kami miliki ketika pusingan kelayakan,” tambah Vidic.
 
Serbia diundi dalam Kumpulan E bersama Brazil, Switzerland and Costa Rica dalam pusingan akhir di Russia, musim panas nanti.
 
Dan ia meluangkan pentas terbesar untuk SMS memperagakan bakatnya dalam meningkatkan tanda harganya kepada €100 juta (RM482 juta).

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen