Skuad B-23 negara: Kalaulah…

Oleh Hafizur Saleh 27 March 2019 27782
Skuad B-23 negara: Kalaulah…
Dikhabarkan bilik persalinan skuad B-23 negara diselubungi perasaan bercampur-baur sejurus tamat perlawanan terakhir Kumpulan J, kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bersemangat dan bangga kerana mereka baru saja mengejutkan ramai dengan keupayaan mengikat pasukan pilihan, China, 2-2.

Anak didik Datuk Ong Kim Swee itu tampil selaku pasukan pertama yang berjaya menembusi pintu gol lawan yang mendapat sentuhan jurulatih tersohor, Guus Hiddink, itu bukan sekali tetapi dua.

Berdebar dan curiga pula kalau-kalau keputusan seri itu mencukupi atau sebaliknya dalam melayakkan mereka – selaku salah satu daripada empat pasukan terbaik di tangga kedua daripada 11 kumpulan kelayakan – untuk ke pusingan akhir di Bangkok dan Pathum Thani, Thailand dari 8-26 Januari 2020.

Kebetulan, pada waktu itu, beberapa perlawanan lain, terutama di Timur Tengah, sedang berlangsung dan keputusan muktamad hanya dapat diketahui pada jam 3.30 pagi tadi (waktu Malaysia).

Sebilangan pemain negara dilaporkan tidak tidur sehingga keputusan mengecewakan diketahui – empat slot itu menjadi milik Australia, Iran, Syria dan Arab Saudi, dengan Malaysia hanya muncul yang ketujuh terbaik di belakang Tajikistan dan Oman.

Kesudahannya, ia situasi “dekat tapi jauh” buat skuad B-23 negara yang harus menamatkan sebarang keraguan untuk layak KALAU mereka mampu mengekalkan pendahuluan 2-1 ke atas China pada minit ke-55 hasil jaringan Daniel Haqim Draman sehingga tamat perlawanan.

Perihal tentang “kalau” ini memang menarik kalau dikaitkan dengan skuad kebangsaan Malaysia, sama ada skuad senior atau skuad B-23 negara.

Selepas berakhir semua aksi kelayakan, Malaysia berada di kedudukan ketujuh dalam kalangan naib juara semua 11 kumpulan dengan mengumpul empat mata, dengan perbezaan satu gol.

Pasukan kedua hingga keempat terbaik, iaitu Iran, Syria dan Arab Saudi meraih empat mata dengan perbezaan dua gol, kecuali Australia yang mengumpul empat mata dengan perbezaan enam gol.

Tetapi nasib anak buah Kim Swee akan berubah KALAU dalam aksi lawan Laos, mereka menjaringkan lebih daripada satu gol -- pastinya beza jaringan Malaysia sudah melebihi tiga pasukan yang disebutkan tadi, kecuali Australia.

Malah, dalam pertemuan dengan China itu, KALAU barisan pertahanan negara fokus mengawal pemain lawan, dan tidak meminta pengadil membunyikan wisel kerana ofsaid, pastinya gawang negara tidak bolos melalui tandukan Zhang Yuning ketika itu menyamakan kedudukan 1-1.

Malah, Malaysia juga banyak peluang untuk menjaringkan gol. KALAU R. Dinesh tidak mensia-siakan peluang dalam satu pergelutan di hadapan gol, pasti Malaysia sudah lebih awal mendahului China 2-1.

Ditambah dengan gol Daniel Hakim, kedudukan ketika itu sudah 3-1 memihak Malaysia, sekali gus muncul juara dan sudah layak ke pusingan akhir di Bangkok.

Aada satu lagi situasi sebenarnya Malaysia boleh ke Bangkok KALAU Filipina mengatasi Laos dalam perlawanan sebelum itu. Tetapi ia tidak berlaku kerana Filipina, yang mendahului 2-0, kemudian tewas 2-3. 

KALAU Laos tidak melakar kebangkitan dan menang, Malaysia pasti berada dalam kelompok empat pasukan terbaik naib juara kumpulan.

Tetapi itu ceritanya KALAU semua itu berlaku.

Sekali lagi, kalau semua cerita nak kalau... bak kata netizen dan tentera bawang negara, babi pun boleh terbang!

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen