Skuad B-23 cetus sinar harapan 

Oleh Fadzrie Hazis 26 January 2018 168
Skuad B-23 cetus sinar harapan 
Kejayaan skuad B-23 kebangsaan ke suku akhir saingan Kejohanan AFC B23 Tahun jelas memberi sinar harapan pada awal 2018.

Belum terlambat buat penulis juga ucapkan tahniah buat pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee.

Anak jati Melaka ini mungkin kurang berjaya bersama skuad senior, namun sentuhan magisnya adalah untuk skuad B-23 negara.

Oleh itu, tumpuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini wajar terarah untuk pembentukkan barisan B23 untuk saingan AFC B23 2020 yang juga kelayakan Olimpik Tokyo 2020.

Penulis turut menyambut baik pendekatan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT) yang menghantar dua pemain muda kelab itu, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan berkelana semusim bersama kelab Divisyen 3 Portugal, Vilaverdensen.

Pendekatan itu pasti memberi pulangan positif buat JDT dan juga skuad B-23 negara dalam misi ke Sukan Olimpik pertama sejak 1980.

Kim Swee juga bakal dihantar 'berguru' ke Atletico Madrid oleh Tunku Ismail, Mac depan dan penulis percaya, ia satu lagi pendekatan yang akan membuahkan hasil.

Barisan kendalian Kim Swee kini masih mempunyai beberapa pemain yang masih layak daripada segi had umur, untuk saingan AFC B-23 2020.

Bagi penulis, tidak salah sekiranya FAM menghantar barisan Bawah 21 Tahun ke Sukan Asia Indonesia Ogos depan sebagai persiapan menghadapi kelayakan AFC B23 Tahun yang dijangka pada 2019.

Pemain seperti Jafri Firdaus Chew, Akhyar Rashid dan juga penjaga gol, Haziq Nazli adalah antara pemain yang masih boleh membentuk skuad B23 tahun pada 2020.

Jangan lupa, kita masih mempunyai pemain skuad bawah 19 tahun negara kendalian Bojan Hodak, serta pemain generasi pertama Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang akan bersaing di saingan AFC bawah 16 tahun untuk dipertimbangkan juga ke skuad B23 pada 2020.

Masa depan bola sepak negara kini seakan mampu bersinar semula selepas kejayaan skuad kendalian Kim Swee ke suku akhir AFC B23 Tahun.

Penulis juga optimis, pengendali skuad senior Tan Cheng Hoe sudah mengenal pasti pemain B-23 yang sesuai untuk tugasan Piala Suzuki AFF 2018.

Dengan format baru "Home &Away" tahun ini, Cheng Hoe jelas perlu membentuk barisan ampuh untuk tugasan itu.

Sekiranya berjaya memberi saingan kuat atau muncul juara Piala Suzuki 2018, impian dan penantian peminat tempatan untuk kembali menyaksikan Harimau Malaya kembali mengaum di pentas antarabangsa akan menjadi kenyataan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen