Skrip sama tapi saingan Eropah tetap menarik  

Oleh Shaiful Shamsudin 29 May 2019 1243
Skrip sama tapi saingan Eropah tetap menarik  
Saingan di Itali akhirnya melengkapkan lima kancah utama Eropah yang menyaksikan Atalanta mencuri tumpuan utama susulan bakal menikmati durian runtuh dengan kemaraan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan. 

Daripada segi kedudukan mahupun angka, tiada perbezaan pun dalam perebutan tangga teratas liga dengan Juventus, Bayern Munich, Manchester City, Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona mengulangi pencapaian liga musim ini. 

Namun, kelima-lima pasukan ini mempunyai satu persamaan, iaitu ditendang keluar daripada UCL dengan cara yang memeritkan. 

Jelas sekali tuntutan untuk mengekalkan kejuaraan liga antara punca persembahan longlai mereka pada detik-detik getir.

Dalam Serie A, Juventus bagaikan '50 langkah ke hadapan' dengan menjuarainya buat kali kelapan berturut-turut dan masih terlalu jauh untuk digugat seteru-seteru utama seperti Napoli, Inter, AC Milan dan AS Roma. 

Borussia Dortmund pula harus menyalahkan diri sendiri gara-gara hilang cengkaman di puncak meskipun pada suatu ketika, menerajui takhta Bundesliga dengan selesa serta gagal mengambil kesempatan di atas kepincangan Bayern Munich yang masih mencari rentak di bawah kendalian pengurus baru, Niko Kovac. 

Dalam masa sama, PSG menghidupkan kerancakan Ligue 1 pada penghujung saingan berikutan aksi longlai dalam 10 perlawanan terakhir yang menyaksikan mereka hanya melakar empat kemenangan, mujur kelebihan besar selain faktor skuad yang sarat dengan bintang membantu mereka meskipun kehilangan bintang utama, Neymar. 

Saingan LaLiga juga bagaikan hilang serinya. 

Real Madrid gagal menjelmakan magisnya berikutan penghijrahan Cristiano Ronaldo dan peletakan jawatan Zinedine Zidane. 

Hanya trofi liga menjadi kebanggaan Barcelona musim ini dan ia sesuatu yang agak janggal untuk kelab Catalunya itu untuk hanya meraikan kejayaan tunggal musim ini. 

Bagaimanapun, berbeza pula dengan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Mahkota EPL terpaksa ditentukan pada hari terakhir kempen apabila Manchester City mengecewakan Liverpool dengan perbezaan hanya satu mata. 

Selain kerancakan perebutan untuk meraih tiket UCL, musim bagi empat wakil mereka belum lagi berakhir apabila Chelsea, Arsenal, Liverpool dan Tottenham bakal mewarnai acara penutup kempen Eropah musim ini dengan Liga Europa dan UCL.

Jumpa lagi musim depan dengan semangat baru dan harapan baru!!!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen