Skrip sama dibintangi gergasi Eropah

Oleh Burn Thevandran 9 April 2018 2383
Skrip sama dibintangi gergasi Eropah
Saingan di liga-liga utama Eropah semakin hampir ke penghujungnya. Ada yang sudah diketahui pasukan mana yang muncul pemenang, dan ada yang masih perlu ,menunggu beberapa baki perlawanan lagi.

Di saingan Liga Perdana Inggeris, hasrat Manchester City untuk merangkul kejuaraan lebih awal terpaksa ditangguhkan apabila dimalukan 2 – 3 di laman sendiri oleh seteru setempat, Manchester United. Namun di atas kertas, The Citizen dijangka mampu muncul juara berdasarkan pungutan mata yang banyak selain kelebihan jaringan gol. Perebutan kini hanya terarah kepada kedudukan kedua dan empat terbaik membabitkan Manchester United, Liverpool dan Tottenham Hotspur.

Persaingan di La Liga juga tidak kurang hebatnya, skuad bimbingan Ernesto Valverde gah dengan rekod tanpa kalah paling lama dalam sejarah iaitu 38 perlawanan tanpa kalah. Mereka kekal memimpin carta liga dengan 79 mata, diikuti Atletico Madrid dengan 67 mata dan Real Madrid 63 mata.

Di Jerman pula, Bayern Munich telah mengesahkan kejuaraan liga apabila menewaskan Ausburg 4 – 1. Mereka meraih 72 mata dalam 29 perlawanan dengan perbezaan 20 mata dengan pasukan di tangga kedua Schalke 04. Schalke 04 pula tumbang mengejut 2 – 3 kepada pasukan Hamburg SV. Pastinya pengendali Bayern, Josef Heynckes boleh memberikan tumpuan pada aksi Liga Juara-Juara Eropah berdepan Sevilla untuk suku akhir kedua.

Bagi Serie A, Juventus, Napoli , AS Roma dan Inter Milan masing-masing menghuni tangga pertama hingga keempat liga. Namun Juventus gah memimpin carta dengan 81 mata. Biarpun tewas 0 – 3 di laman sendiri kepada Real Madrid, namun penulis merasakan anak-anak buah Massimiliano Allegri mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi  musim lalu.

Dengan kesemua liga-liga utama Eropah akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, sudah tentu tumpuan selepas ini akan diberikan pada aksi Liga Juara-Juara Eropah  dan juga Piala Dunia 2018 di Rusia.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen