Siva - Anggota paling lama skuad bola sepak negara

Oleh Rizal Hashim 23 March 2018 2142
Siva - Anggota paling lama skuad bola sepak negara
TIDAK ramai yang boleh berbangga dengan rekod berkhidmat di bawah 12 jurulatih bola sepak kebangsaan dalam tempoh lebih dua dekad.

Ratusan pemain pula – sama ada yang bergelar legenda mahupun muka baharu - harus berterima kasih dengan sentuhan jari-jemarinya serta khidmat nasihatnya dalam proses pemulihan gara-gara kecederaan.

Sivanasvaran Suppiah, bakal berusia 53 tahun, 8 Ogos ini, adalah jurupulih anggota atau pakar fisioterapi pasukan bola sepak kebangsaan.

Di sebalik jawatannya selaku ketua unit sains sukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua ahli fisioterapi, Sivanasvaran menyimpan banyak rahsia dan kisah dalaman yang tidak mungkin dikongsinya dengan umum.

Tuntutan tugas dan desakan peminat tidak memungkinkan seorang jurulatih bertahan lama atas kerusi panasnya.

Ini berbeza dengan kedudukan Sivanasvaran.



Sebagai ahli fisioterapi yang memulakan kerjayanya selama tiga musim dengan pasukan Piala Presiden Kuala Lumpur, Sivanasvaran memasuki dekad ketiganya sebagai pakar rujuk kecederaan dan pemulihan di FAM.

Bermula dengan saingan pra-Piala Dunia 1997, ketika skuad negara dikendali oleh Wan Jamak Wan Hassan, Sivanasvaran menjadi sebahagian daripada sistem sokongan untuk lima edisi Sukan SEA, tiga Sukan Asia, sembilan kali Piala AFF, lima saingan pra-Piala Asia dan dua pertandingan pra-Olimpik.

Disebabkan tugasnya, Sivanasvaran boleh mempengaruhi keputusan ketua jurulatih sama ada seseorang pemain itu cukup cergas atau tidak untuk disenaraikan.

Tan Cheng Hoe yang memulakan tugasnya selaku ketua jurulatih secara rasmi menentang Mongolia adalah bos Sivanasvaran yang ke-12. 

Jurulatih lain ialah Hatem Souissi, Abdul Rahman Ibrahim, Allan Harris, Bertalan Bicskei, Norizan Bakar, B. Sathianathan, Datuk K. Rajagobal, Dollah Salleh, Datuk Ong Kim Swee dan Nelo Vingada.

Momen yang sukar dilupakan Sivanasvaran ialah saingan pra-Olimpik 1999 di Hong Kong apabila penyokong Nepal mencerobohi padang pada minit ke-88 gara-gara salah faham di antara pemain kedua-dua pasukan.

“Saya menghabiskan semalaman di hospital memantau perkembangan kecederaan dialami oleh beberapa pemain, termasuk Rafdi Rashid, yang menjadi mangsa serangan penyokong Nepal,” kata Sivanasvaran.

Tempoh panjang Sivanasvaran selaku jurupulih anggota pasukan menyaksikan beliau berkhidmat untuk Zainal Abidin Hassan sebagai pemain pada musim terakhirnya bersama pasukan kebangsaan pada 1997 dan seterusnya selaku jurulatih skuad remaja Bawah 17 tahun pada 2002.

Sivanasvaran juga tidak lupa insiden apabila dua pemain pertahanan, S. Jayaprakash dan Yuzaiman Zahari, berlaga kepala ketika Malaysia melayan kunjungan Indonesia pada 1999.

“Kadang-kadang anda berdepan kes hidup atau mati yang memerlukan keputusan dibuat sekelip mata. Mereka dikejarkan ke hospital dengan segera. Kecederaan Yuzaiman menafikannya peluang ke pra-Olimpik,” katanya.



Melihat seorang pemain pulih dan cergas dalam waktu singkat pula memberi kepuasan tidak terhingga kepada Sivanasvaran dan mana-mana ahli fisioterapi.

Sumbangan Sivanasvaran tidak terbatas di atas padang dan bilik pemulihan. Dalam bilik lembaga mesyuarat, pandangannya juga dihormati.

Anak jati Ipoh ini mempengaruhi dasar Jawatankuasa Pertandingan dan Jawatankuasa Perubatan FAM untuk meminda peraturan perubatan perlawanan dengan menyediakan sokongan perubatan mencukupi serta perkhidmatan sekurang-kurangnya dua ambulans.

Sivanasvaran juga meyakinkan pembuat dasar FAM untuk memastikan setiap pasukan Liga M diwajibkan mengambil ahli fisioterapi yang layak menerusi saringan dan doktor sepenuh masa.

Melengkapkan Diploma dalam Perubatan Bola Sepak FIFA tahun ini, Sivanasvaran memenangi Anugerah Perak pada Anugerah Perubatan AFC pertama di New Delhi pada 2015.

Dengan sokongan isterinya Jothy Letchumy dan dua anak jejakanya, Kovin dan Navin, Sivanasvaran nampaknya harus kekal di bangku pasukan kebangsaan dalam tempoh yang lama, tanpa mengira siapa ketua jurulatih negara.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen