Sindrom kemerosotan prestasi belenggu Kian Meng/Pei Jing

Oleh Lukman Salleh 16 March 2018 633
Sindrom kemerosotan prestasi belenggu Kian Meng/Pei Jing
Suatu ketika dahulu, gandingan Tan Kian Meng/Lai Pei Jing dianggap setanding dengan kehebatan beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying.

Malah, ketika ketiadaan pasangan nombor satu itu akibat kecederaan yang dialami Liu Ying, Kian Meng/Pei Jing mengisinya dengan penuh tanggungjawab apabila tampil cemerlang terutama ketika di saingan Piala Sudirman di Gold Coast, tahun lalu.

Namun selepas itu, sedikit demi sedikit prestasi mereka merudum pada kadar yang begitu menakutkan hingga mereka sudah ketinggalan dari segi ranking kepada Peng Soon/Liu Ying dan Goh Soon Huat/Shevon Lai, yang dinobat juara Terbuka Jerman baru-baru ini.

Pasangan ini tampak sedang mengalami sindrom kemerosotan prestasi yang pernah melanda beberapa pemain negara sebelum ini seperti beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan baru-baru ini Goh V Shem/Tan Wee Kiong. Ada beregu negara ini yang kembali bangkit seperti ditunjukkan V Shem/Wee Kiong tetapi seperti Kien Keat/Boon Heong tampak gagal kembali ke prestasi terbaik mereka.

Pei Jing lebih terbuka berbicara mengenai masalah dihadapi. Dia mengakui tidak tahu apa masalah sebenar mereka hingga menyebabkan prestasi mereka jatuh dengan begitu buruk sekali.

Bagi saya, penting untuk Persatuan Badminton Malysia (BAM) serta barisan jurulatih membantu pasangan ini mengenalpasti permasalahan. Seandainya masalah tidak dapat diketahui, maka sukar untuk mencari penawarnya dan mungkin susah buat mereka untuk bangkit kembali.

Walaupun pasangan ini masih bersemangat untuk terus digandingkan, mungkin salah satu penawar ialah memisahkan kedua-duanya buat sementara untuk memberi peluang kedua-duanya bernafas dan melihat serta mencari punca kepada kemerosotan prestasi yang makin hari makin mengikis semangat mereka.

Saya puji sikap Pei Jing yang tidak akan menyerah kalah dan saya harap pasangannya Kian Meng juga memiliki semangat yang sama. Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya dan saya harap pasangan ini akan dapat menemui jalan penyelesaian mereka dengan segera dan kembali beraksi dengan lebih baik.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen