Siapa pengendali Azzuri ?

Oleh 5 February 2018 239
Siapa pengendali Azzuri ?
Melihat kepada video terbaru pasukan Johor Darul Takzim yang menampilkan Hernan Crespo, Rivaldo dan Alessandro Nesta, Dayang terus terbayangkan pasukan Itali yang gagal beraksi dalam Piala Dunia Rusia 2018.

Alessandro Nesta yang merupakan gandingan kepada Paolo Maldini di AC Milan kini beralih kepada bidang kejurulatihan tentunya terkesan apabila Azzuri gagal melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia -- kali terakhir Itali muncul juara adalah sewaktu era Nesta pada 2006.

Kegagalan Itali ke Piala Dunia adalah di bawah bimbingan Gian Piero Ventura dan kini Itali sedang sibuk mencari pengganti sesuai bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan mereka.

Beberapa nama telah disenarai pendek dan antara nama besar yang disebut-sebut adalah Roberto Mancini, Claudio Raneiri, Carlo Ancelotti dan Antonio Conte.

Bagaimanapun, Conte lebih awal menarik diri atas alasan mahu memberikan tumpuan kepada kelabnya sekarang, Chelsea, dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Skrip sama melibatkan Mancini dan Ranieri kerana masing-masing masih terikat dengan kontrak kelab yang dibimbing.

Buat masa sekarang, Itali dibimbing jurulatih sementara, Luigi Di Biagio, yang juga merupakan bekas pemain AS Roma, Inter Milan dan Lazio namun ramai pihak berpendapat beliau bukanlah calon yang sesuai berdasarkan pengalaman semasanya.

Dayang secara peribadi percaya Itali memerlukan seorang jurulatih yang berpengaruh bagi mengembalikan kepercayaan pemain dan peminat. Gagal layak ke Piala Dunia adalah malapetaka buat skuad Itali yang merupakan salah satu kuasa besar bola sepak dunia. 

Mungkin masih terlalu awal, namun Dayang mengharapkan seorang individu yang berperwatakan seperti Gianluigi Buffon yang amat disukai ramai dipilih selaku ketua jurulatih.

Siapa pun individu yang akan dipilih selaku ketua jurulatih Itali nanti, tugas yang dipikul adalah satu tugas yang amat berat, apatah lagi Serie A bukan lagi liga yang  kompetitif seperti dahulu dan ini tentunya menyukarkan jurulatih untuk mencari pemain-pemain berkualiti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen