Siapa penasihat sukan Syed Saddiq?

Oleh Bazly Azmi 17 March 2019 7385
Siapa penasihat sukan Syed Saddiq?
Sejak dilantik Menteri Belia dan Sukan, lapan bulan lalu - ini kalilah Syed Saddiq mencipta ketegangan di kalangan komuniti sukan Malaysia.

Program Podium yang diumumkan menyaksikan atlet diberikan lebih banyak ruang untuk menyuarakan pendapat dan hak mereka sekaligus menenggelamkan peranan pegawai persatuan dan jurulatih.

Saya anggap ia pendekatan positif tetapi Syed Saddiq perlu bertindak bijak.

Beliau perlu mengambil kira semua aspek termasuk pandangan pegawai dan jurulatih sebelum ambil tindakan. Contohnya isu ratu karate-do negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan.

Selepas bergelut dengan masalah berat badan hingga terlepas beberapa kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, akhirnya Syakilla akan dihantar berlatih di Latvia bersama jurulatih yang baru ditamatkan kontrak oleh Persekutuan Karate-Do Malaysia (Makaf).

Makaf sudah tentu tidak puas hati kerana sudah sebulat suara menamatkan kontrak Andris Vasiljevs. Cuma, tangan mereka terikat kerana 'Big Boss' sudah buat keputusan.

Soalnya, berapa pula gaji Vasiljevs? Takkan RM1,050?
Apa akan berlaku jika Syakilla gagal mengawal berat badan bawah 55kg? Ingat, program latihan di Amsterdam, Belanda yang patut menjadi platform untuk dia mengumpul mata kelayakan ke Tokyo hanya sempat berlangsung sebulan kerana masalah itu.

Itu soal Syakilla, bagaimana dengan pendekatan Syed Saddiq sebelum mengumumkan Program Podium?
Adakah beliau menerangkan terlebih dulu kepada pegawai persatuan dan jurulatih? Tidak!
Mengapa perkara ini berlaku? Adakah pegawai persatuan dan jurulatih tidak sepenting atlet?

Adakah Syed Saddiq anggap pegawai persatuan dan jurulatih penghalang untuk atlet melangkah lebih jauh?
Saya melontarkan persoalan yang tidak mampu disuarakan segelintir pegawai persatuan dan jurulatih. Bukan semua berani bersuara.

Lihat saja Sistem Tier yang baru tiga bulan diwujudkan tetapi sudah diganti dengan Program Podium. Orang kata, merangkak pun belum lagi dah ditukar program baru. 

Siapalah penasihat sukan Syed Saddiq? 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen