Shalin: Pilihan atlet untuk berpuasa

Oleh Sharon Wee 30 May 2018 579
Shalin: Pilihan atlet untuk berpuasa
Perjalanan atlet Malaysia mengejar kejayaan bukan sahaja melalui latihan keras tetapi ia membabitkan eko sistem yang terkawal dan konsisten baik daripada segi fizikal, mental, emosi termasuk spiritual.

Setiap atlet perlu menempuhi cabaran masing-masing dan antaranya supaya dapat memberi pengetahuan dan pendedahan kepada masyarakat adalah bagaimana atlet Muslim menjaga pemakanan serta melalui bulan Ramadan ketika masih aktif berlatih dan bertanding.

Rakan karib saya, Shalin Zulkifli, yang masih mengibarkan jalur gemilang selepas lebih dari dua dekad dalam sukan boling berkongsi pengalamannya. (Shalin dan pasukan bertolak ke Amerika Syarikat pada 1 Jun 2018 untuk pertandingan dan beraya di sana.

1. Shalin, puasa tahun ni ok tak dan ada apa-apa istimewa?  Alhamdulillah, puasa tahun ini bagus Istimewanya bulan Ramadan tahun ini, saya berada di Malaysia dan dapat berpuasa dan beribadah bersama suami, anak dan keluarga saya. Tahun-tahun sebelumnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana saya di luar negara bertanding.

2. Cabaran atlet yang berpuasa? Agak mencabar kerana kami menjalankan ibadah puasa dengan melakukan aktiviti dan latihan yang sama seperti waktu lain.

Mungkin intensiti latihan boling kurang 10%-20% tetapi kami masih perlu melakukan latihan di gimnasium dan sebagainya.

Haus dan lapar juga..haha..

Tetapi kami kena pastikan yang semasa sahur, kami mengambil makanan yang mengandungi nutrisi seperti karbohidrat kompleks jadi boleh bertahan dan tak lapar sangat.

3. Adakah berpuasa memberi kesan kepada prestasi? Pada saya tentunya ia ada memberi kesan. Tetapi saya lihat dari sudut positif kerana saya kadang-kadang ketika membuat lontaran terlalu laju jadi bila bulan puasa sebab tak makan sangat, balingan saya tak terlalu laju..jadi lebih terkawal..hahaha..

Tapi ada juga rakan sepasukan saya yang tak dapat maintain ball speed mereka kerana penat dan tak cukup tenaga.

4. Jika berada di luar negara, makanan halal mungkin sukar untuk dicari. Bagaimana anda melalui cabaran ini? Ya, sudah tentunya.

Kami semua mempunyai secret weapon iaitu 'travel cooker'. Itu wajib yang kena bawa walaupun kecil sahaja tetapi ia membantu kerana kami boleh beli barang mentah dan masak di bilik (oops! habis nanti hotel kejar saya lepas tahu ni).

Kalau boleh dapat tinggal di bilik hotel yang ada dapur. Bila kami keluar makan, kami akan cari restoran yang halal tapi kalau takde kami makan seafood atau jadi vegetarian sementara.

5. Jika bulan Ramadan bertembung dengan pertandingan, apa yang dilakukan Shalin? Memang mencabar kerana setiap tahun ada sahaja kejohanan semasa bulan puasa. Saya masih berpuasa. Sebenarnya, bertanding ketika berpuasa ni banyak mengajar kita tentang kesabaran dan fokus. Tapi kalau tak sihat atau masa final saya tak puasa tapi kena ganti baliklah.

Saya juga menyeru kepada komuniti sukan dan badan sukan antarabangsa supaya lebih sensitif kepada atlet yang berpuasa juga pengetahuan tentang hari-hari penting untuk agama lain juga.

6. Ada apa-apa perkara lain yang ingin Shalin kongsikan kerana mungkin persepsi dan anggapan atlet muda atau masyarakat tentang atlet yang berpuasa atau atlet Muslim yang mencari makanan halal di luar negara agak berlainan dari sebenarnya.

Berpuasa masa latihan dan pertandingan pasti mencabar. Sedih tak dapat berpuasa dan sambut Hari Raya bersama keluarga. Tapi itu adalah pilihan sendiri termasuk atlet. Cabaran ini membuat saya dan para atlet negara yang melalui situasi yang sama menghargai betapa indahnya Malaysia dengan bazar Ramadan, berbuka bersama, rakyat berbilang kaum Raya bersama dan banyak lagi.

Pada masa sama, berpuasa wajib walaupun anda seorang atlet dan kewajipan perlu disempurnakan. Hanya perlu membuat perancangan latihan, pertandingan dan pemakanan.

Atlet itu perlu buat pilihan sendiri samada menggunakan bulan Ramadan untuk bulan pemulihan dan mahu bertanding atau tidak.

Dalam perkara atlet berpuasa ni, kita biar atlet membuat keputusan. Dan saya yakin atlet Muslim Malaysia semuanya baik-baik.

Mengejar kejuaraan kejar jugak tapi tanggung-jawab agama masih perlu dilaksanakan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen