Shah Firdaus popular di Australia

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 8 April 2018 16701
Shah Firdaus popular di Australia
"Aussie Matt Glaetzer suffers shock defeat in men's sprint", "World champion Glaetzer in shock sprint exit" dan "Aussie world champ suffers unbelievable upset loss". Itu antara berita-berita yang dilaporkan oleh media Australia.

Kekalahan pelumba berbasikal trek Australia Matt Glaetzer atau nama sebenarnya Matthew Glaetzer dalam acara pecut individu lelaki pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 nyata cetus sensasi!

Apa tidaknya, Glaetzer disingkirkan oleh pelumba yang mencatat masa terakhir terpantas dalam peringkat kelayakan di hadapan penyokong sendiri tatkala dia merakam masa terpantas dengan rekod temasya 9.583 saat.

Pelumba yang menyingkirkannya di pusingan kedua itu ialah pelumba Malaysia!, iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom. Tiada siapa pun dapat menyangka perkara itu akan berlaku ke atas Glaetzer.

Ini kerana, pelumba berusia 26 tahun kelahiran Adelaide itu merupakan juara dunia, pemegang rekod temasya malah, masih segar dengan kejayaan merangkul pingat emas acara keirin!

Meremang bulu penulis sebaik Shah Firdaus pertama melintasi garisan penamat ketika berentap dengan Glaetzer dalam perlumbaan pusingan kedua yang turut menggamamkan penonton di Velodrom Anna Meares di Brisbane itu.

Malah, media antarabangsa terutama media tempatan juga seakan tidak percaya Glaetzer dikalahkan Shah Firdaus. Kejayaan itu juga secara tiba-tiba melonjak nama Shah Firdaus.

"How to pronouce his name?, "What is his last name"?, "he can speak english", tanya beberapa media antarabangsa kepada penulis yang turut menjadi saksi kepada kejayaan bersejarah itu.

Penulis secara peribadi berbangga dengan Shah Firdaus walaupun dia pada akhirnya tidak berjaya merealisasikan impian merangkul pingat dalam acara itu susulan tewas dalam penentuan pingat gangsa menentang pelumba tuan rumah, Jacob Schmid.

Sebelum itu, Shah Firdaus tewas kepada juara bertahan Sam Webster dari New Zealand dalam perlumbaan separuh akhir selepas mengejutkan seorang lagi pelumba handalan dari Wales Oliva Lewis di suku akhir.

Mungkin bukan rezeki anda, tetapi apa yang penulis katakan, Shah Firdaus kini popular di Australia.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen