Serena sedia kembali ke gelanggang!

Oleh Yeoh Li Ying 8 December 2017 142
Serena sedia kembali ke gelanggang!
Peminat-peminat pemain tenis Amerika Syarikat, Serena Williams pasti menyambut berita ini dengan gembira. Pada 4 Disember 2017, Pengarah Kejohanan Tenis Terbuka Australia, Craig Tiley mengesahkan Serena akan kembali mempertahankan kejuaraan pertengahan Januari 2018.

Beliau yang baru sahaja melahirkan anak perempuan September lalu sudah turun gelanggang untuk berlatih dalam misi mendapatkan kembali kecergasan selepas berehat hampir setahun.

Imbas kembali, Terbuka Australia awal Januari lalu merupakan kejohanan terakhirnya sebelum mengambil keputusan untuk berehat selepas disahkan mengandung. Betapa hebat Serena ketika itu yang sudah mengandung 8 minggu menjulang kejuaraan di Melbourne Park.

Kejuaraan itu juga merupakan Grand Slam Ke-23 Serena dan hanya kurang satu trofi untuk menyamai pencapaian legenda pemain Australia, Margaret Court.

Saya cukup kagum dengan semangat Serena, dikala usia menjangkaui 36 tahun, tidak ramai atlit yang mampu meneruskan kerjaya mereka sebaliknya akan memilih untuk bersara. Namun tidak bagi Serena yang tekad untuk kembali berjuang dalam misi untuk cipta sejarah mengatasi pencapaian Margaret Court dan seterusnya menjadi pemain tenis terulung dunia.

Sesuatu yang menarik juga, jika Serena berjaya dalam misi mempertahankan kejuaraan di Terbuka Australia bulan depan, dia akan menjadi pemain ketiga dalam sejarah sejak bergelar ibu untuk menjulang kejuaraan bertaraf Grand Slam. Ini seperti yang dilakukan bekas pemain Belgium, Kim Clijsters yang mendakap kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat 2009 dan Evonne Goolangong Cawley di kejohanan Wimbledon pada 1980.

Apa yang pasti, kembalinya Serena ke dalam sirkit tenis dunia pada 2018 sudah pasti menghangatkan saingan kategori wanita! Nantikan kemunculan Serena di Terbuka Australia bermula dari 15 hingga 28 Januari 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen