Serangan influenza B, JDT pun boleh tumbang

Oleh Suzana Basri 14 July 2019 2946
Serangan influenza B, JDT pun boleh tumbang
Baru-baru ini, sekurang-kurangnya tiga aksi Liga Super melalui perubahan tarikh perlawanan yang diakibatkan oleh masalah kesihatan membabitkan penularan Influenza B.

Kira-kira 25 pemain terbabit dengan sebahagian besarnya daripada pasukan Juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta'zim (JDT), selebihnya pemain PKNS FC, selain beberapa pegawai pasukan - menyaksikan virus ini tidak mengira mangsa, mantap atau tidak seseorang itu di atas padang, berapa jam sehari dia bersukan dan sebagainya.

Bagaimanapun, keputusan pantas badan pentadbir liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dalam menunda perlawanan yang dijadualkan buat JDT dan PKNS wajar diberi pujian atas menimbang tara faktor kesihatan, keselamatan dan kesukanan.

Antara ketiga-tiga faktor yang disebutkan ini, keselamatan memberi satu gambaran kurang jelas tentang risiko yang mampu dibawa Influenza dan apa perbezaan virus ini dengan selsema biasa.

Influenza disebabkan oleh virus RNA dari famili Orthomyxoviridae dan ia berjangkit melalui sentuhan atau penyingkiran bahan kumuh daripada pesakit melalui semburan cecair - bermakna, ia boleh terjadi ketika pesakit batuk, bersin atau bercakap.

Influenza terbahagi kepada virus A, B dan C. 

Influenza A yang pernah menggemparkan Malaysia beberapa tahun lalu juga dipanggil selesema burung kerana turut mampu menjangkiti haiwan seperti burung, khinzir dan kuda.

Sementara itu, Influenza B hanya menyerang manusia dan lebih jarang berlaku kerana ia virus yang lebih lemah dengan kadar mutasi dua hingga tiga kali lebih lambat berbanding Influenza A.

Berbeza pula dengan Influenza C yang menjangkiti manusia, anjing dan babi serta kadangkala menimbulkan penyakit yang berat dan epidemi local - mujur jenis ini sangat jarang berlaku.

Melihat kepada ketiga-tiga virus ini, Influenza B boleh dilabel sedikit ringan -- namun ia sebenarnya tetap memberi kesan hebat kepada tahap kesihatan pesakit.

Apabila Influenza B menyerang, seseorang itu akan mengalami ;

Demam dan rasa sejuk yang ekstrim sehingga menggigil secara tiba-tiba antara dua hingga empat hari.

Sakit sendi sehingga tidak dapat bangun dari tempat tidur selama beberapa hari dengan rasa nyeri terutama di kaki dan punggung.

Sakit kepala yang hebat.

Hidung berair dan tersumbat.

Batuk dan sakit kerongkong.

Mata berair dan kemerahan.

Kulit menjadi merah terutamanya di wajah dan tumbuh ruam.

Jika mengalami dua simptom pertama pun rasanya sudah cukup untuk melemahkan ketahanan badan seseorang manusia - apatah lagi mahu diajak beradu tenaga dan kepintaran di atas padang.

Satu perbezaan ketara di antara virus inluenza dengan selesema biasa, ia tidak boleh dirawat menerusi pengambilan antibiotik dan seperti Influenza A, doktor turut menasihatkan - seeloknya, duduk dirumah dan elakkan hubungan dengan orang lain (kuarantin) serta banyakkan minum air.

Pesakit Influenza B juga turut berisiko untuk mendapat Pneumonia yang memburukkan lagi keadaan apabila suhu badan tidak menurun disertai batuk, sesak nafas dan tubuh bertukar menjadi biru - serta perlu diingat, ia mampu menyebabkan kematian pada semua peringkat masyarakat.

Diharapkan apa yang berlaku kepada kem JDT dan PKNS segera berakhir agar tiada lagi ketakutan untuk penyokong beramai-ramai ke stadium menyaksikan pasukan kesayangan masing-masing.

Biarlah ia menjadi coretan terakhir membabitkan masalah kesihatan dalam sejarah bola sepak negara - dimana ia pernah menjejaskan pertemuan Perlis dan UiTM FC selepas 14 pemain Perlis diserang penyakit cirit birit pada Jun 2014.

Kami di Astro Arena mendoakan semoga para pemain dan pegawai pasukan JDT dan PKNS yang dijangkiti Influenza B diberikan kesembuhan segera dan kembali ampuh menjalankan tugasan yang tertangguh pada 16 Julai ini.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen