Serah kepada Shapawi

Oleh 17 April 2018 985
Serah kepada Shapawi
Saya fikir Program Podium patut diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Ini bukan soal memperkecilkan kemampuan Institut Sukan Negara (ISN) yang menjalankan program itu sejak 2016 tetapi demi kelangsungan program yang sudah menelan kos RM145 juta itu.

Cuba bayangkan, atlet yang asasnya dibina seorang jurulatih tetapi apabila menjadi juara -- diserahkan kepada rakan jurulatih lain walaupun tarafnya lebih kurang sama dengan jurulatih asal.

Tidak ada banyak beza, cuma jurulatih baru itu mendapat lebih banyak akses sama ada program latihan luar negara, sains sukan dan elaun tinggi.

Itupun kerana sistem yang dicipta pegawai luar negara sedangkan jika diberi peluang sama dengan jurulatih asal, beliau juga berpeluang membawa atletnya meraih kejayaan yang mungkin lebih besar.

Dalam hal ini, mengapa kita lebih mempercayai pegawai luar negara sedangkan pegawai tempatan mampu melaksanakan tugas itu?

Apa yang kita perlukan ialah jurulatih asing, bukannya pegawai yang menguruskan sistem.

Jurulatih yang pernah membawa atlet seperti Lin Dan, Yelena Isinbayeva atau Usain Bolt untuk membentuk atlet Malaysia.

Setakat merangka program latihan di luar negara kerana mempunyai dana yang banyak, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia pun boleh buat.

Saya bercakap mengenai program bertaraf tinggi, yang mengukur berapa banyak oksigen yang Azizulhasni Awang sedut ketika tidur, berapa banyak sayur dimakan Datuk Nicol Ann David, berapa liter air diperlukan Datuk Lee Chong Wei setiap kali berlatih.

Itu yang dijanjikan Program Podium ketika majlis pelancaran pada 2016.

Tapi setakat ini tiada apa yang menarik, cuma biasa-biasa saja.

Setakat tujuh pingat emas Sukan Komanwel, kita pernah mencapainya pada 2002 dan 2006. Apa yang saya harapkan ialah mengatasi pencapaian New Delhi 2010 dengan 12 emas!

Barulah berbaloi dengan berjuta wang rakyat Malaysia yang sudah dilaburkan.' Program Podium perlu akui mereka gagal pada ujian pertama. Ujian kedua menanti di Sukan Asia, Ogos depan.

Masih belum terlewat untuk memperbaiki keadaan. Lebih baik serahkan kepada pegawai tempatan yang lebih pakar mengendalikan cara kerja atlit dan jurulatih Malaysia.

Tidak salah mencuba selagi ada masa. 

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen