Sepakan ala Zlatan bawa skuad B-19 ke Uzbekistan 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 November 2019 2479
Sepakan ala Zlatan bawa skuad B-19 ke Uzbekistan 
Luqman Hakim Shamsudin dan rakan-rakan melenyapkan keraguan terhadap kemampuan mereka apabila memastikan tiket automatik ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan bermula 14 hingga 31 Oktober tahun depan.

Jaringan tunggal Umar Hakeem Suhar Redzuan dalam perlawanan getir dan terakhir di peringkat kelayakan itu petang semalam memastikan mereka di puncak Kumpulan G dengan rekod kemenangan 100 peratus.

Thailand yang terdesak melancarkan asakan bertali arus menerusi penyerang berbisa, Suphanat Mueanta, sejak tiupan wisel pertama akhirnya dikejutkan dengan jaringan permainan sepasukan sebelum penyudah ala tendangan pemain tersohor bekas kapten Sweden, Zlatan Ibrahimovic, pada minit ke-84.

Tetapi kejayaan itu bukanlah hadir atas faktor nasib mahupun ihsan daripada tuan rumah, Kemboja, yang terlebih dahulu menundukkan Thailand 2-1.



Ketika membuka kempen di Stadium Nasional Olimpik Phnom Penh, ekoran pintu gol negara bocor empat kali tetapi menang dengan kelebihan tipis 5-4 ke atas Kemboja sempat menimbulkan persoalan, apakah skuad negara berkemampuan untuk bergelar juara kumpulan memandangkan ia turut dihuni oleh skuad muda Gajah Perang itu.




Namun, ternyata ia menjadi satu-satunya perlawanan yang menyaksikan mereka dibolosi sebelum memastikan kekebalan pintu gol dengan Firdaus Irman Mohd Fadhil kembali menjadi benteng akhir merangkap ketua pasukan selepas reputasi sempat tercalar dalam Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, Ogos lalu.

Selepas itu, Malaysia menang 11-0 ke atas Brunei sebelum menerusikan rentak bergaya dengan menundukkan Kepulauan Mariana Utara 10-0.

Tahniah buat skuad B-19 negara dan ini bermakna selangkah lagi, skuad kendalian Brad Maloney itu berpeluang untuk mencabar tempat dalam Piala Dunia B-20 di Indonesia, dua tahun lagi, dengan empat pasukan terbaik diberikan laluan ke pentas berprestij itu, lebih-lebih lagi venue di sana acap kali membawa tuah buat skuad negara.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen