Seni sandiwara bergusti 

Oleh Shaiful Shamsudin 20 July 2019 178
Seni sandiwara bergusti 
Bukanlah lagi perkara baru dalam sukan gusti, pertarungan adalah lakonan.

Dalam kehidupan yang pekat dengan hiburan ini, industri itu dilihat sedikit malap berbanding sambutan pada era lewat 90-an. 

Stone Cold Steve Austin, The Rock, Hulk Hogan dan Undertaker adalah antara penggusti daripada era kegemilangan syarikat World Wrestling Entertainment (WWE). 

Baru-baru ini, Nor 'Phoenix' Diana telah membuka mata peminat tempatan dengan aksi tangkasnya dengan kejayaan merangkul tali pinggang dalam Kejohanan Malaysia Pro Wrestling-The Wrestleconi. 

Atlet di bawah naungan Persatuan Gusti Malaysia (MyPW) itu menjadi pelopor penggusti wanita dengan gelagat tangkasnya meskipun memakai tudung. 

Tidak ramai yang tahu, penggusti pertama yang menjadi mangsanya adalah 'tok gurunya’ sendiri, Ayez Shaukat Fonseca Farid.

Pertarungan di ibu negara itu mempunyai elemen kejutan kerana Phoenix sebenarnya tidak tahu bahawa dia akan menang pada malam itu. 

Bagi Ayez, tindakan itu demi melihat reaksi spontan daripada Phoenix dan penonton sendiri.

"Pertarungan pada malam itu dihadiri hampir 400 penonton yang membuatkan venue tersebut sesak," katanya.  

Tambah beliau, yang bertugas dalam industri hiburan, setiap negara yang bergiat aktif dalam sukan gusti mempunyai DNA mahupun identiti masing-masing. 

Amerika Syarikat, contohnya, lebih menjurus kepada aspek penceritaan. Mexico pula lebih kepada penggusti bertubuh kecil dengan bercirikan kebolehan teknikal, termasuk melayangkan badan. 

Jepun pula, tambahnya, terkenal dengan tumbukan padu. Maka, Malaysia pula yang masih merangkak dalam penganjuran gusti, cuba menggabungkan ketiga-tiga elemen tersebut. 

Menurutnya, penggusti tempatan perlu bijak berdikari, kreatif dalam jalan penceritaan dan kemahiran bertarung. 

"Ketika bergusti, kami tidak tertumpu kepada kemenangan, apa yang penting adalah bagaimana untuk membuatkan penonton teruja," katanya. 

Mereka akan berlatih setidak-tidaknya sekali seminggu dengan purata empat hingga enam jam dalam setiap sesi. 

"Ya, skrip perlawanan akan ditentukan kami sendiri. 

"Biasanya kami akan membincangkannya secara ringkas sebelum keluar ke gelanggang selain cuba berkomunikasi di atas gelanggang," ujarnya.

Apa yang lebih membanggakannya, ramai penggusti di luar negara terpesona dengan kemahiran yang dimiliki wakil di negara ini sedangkan kegiatan sukan ini jarang menjadi sebutan di negara sendiri. 

"Kami akan beraksi di Filipina bulan depan serta berhasrat menganjurkan satu lagi kejohanan tempatan dalam masa terdekat."

Bahkan, mereka kini mula mendapat perhatian penganjur di Eropah. 

"Ya, kalau ada rezeki, kami akan beraksi di Jerman."

Dalam masa yang sama, Ayez sempat menuntut ilmu dengan bekas jurulatih kepada Stone Cold, The Rock dan Jeff Hardy, iaitu Dr. Tom Prichard, termasuk mengikuti latihan asas di atas talian untuk mengembangkan pengetahuannya dan antara lain, demi mengelak kecederaan.

Jelasnya, mereka berdepan risiko tersebut serta bukan mudah untuk mendapatkan perlindungan insurans.

"Saya pernah bertanyakan hal itu dan syarikat insurans menuntut RM3,000 sebulan."

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen